Biden lawat New York sempena ulang tahun ke-20 tragedi 9/11, kata Rumah Putih

Biden lawat New York sempena ulang tahun ke-20 tragedi 9/11, kata Rumah Putih

Naib Presiden Kamala Harris dan suami Douglas Emhof akan ke Shanksville dalam satu acara berasingan sebelum menyertai Presiden di Pentagon.

Joe Biden menandatangani perintah eksekutif mengarahkan pentadbirannya meneliti beberapa dokumen berkaitan siasatan FBI terhadap serangan 11 Sept 2001. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Presiden Joe Biden akan melawat New York, Pennsylvania, dan Virginia sempena ulang tahun ke-20 serangan 9/11, menurut kenyataan Rumah Putih.

“Pada Sabtu, 11 September, Presiden dan isteri (Jill Biden) akan mengunjungi ketiga-tiga lokasi serangan 9/11: New York City, New York, Shanksville, Pennsylvania dan Pentagon di Arlington, Virginia, untuk memperingati ribuan nyawa yang terkorban dalam tragedi itu, 20 tahun lalu,” lapor Sputnik.

Menurut kenyataan itu Naib Presiden Kamala Harris dan suami Douglas Emhof akan ke Shanksville dalam satu acara berasingan sebelum menyertai Presiden di Pentagon.

Pada Jumaat Biden menandatangani perintah eksekutif mengarahkan pentadbirannya untuk meneliti beberapa dokumen berkaitan siasatan FBI terhadap serangan 11 Sept 2001.

Di bawah arahan itu Jabatan Kehakiman dan agensi persekutuan lain diminta mengkaji dokumen dan melihat beberapa maklumat yang mungkin boleh dikongsi kepada umum.

Sejak bertahun-tahun sejumlah keluarga mangsa serangan 9/11 mendesak kerajaan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai tragedi itu.

Pada 11 Sept 2001, empat pesawat dirampas Al-Qaeda, dua merempuh bangunan World Trade Center (WTC) di New York manakala sebuah lagi pesawat melanggar bangunan Pentagon berhampiran Washington, DC. Pesawat keempat terhempas di Pennsylvania.

Berikutan peristiwa itu AS melancarkan “Operation Enduring Freedom” dan Presiden George W Bush ketika itu mengumumkan serangan udara yang menyasarkan Al Qaeda dan Taliban. Taliban menolak untuk mengekstradisi anggota Al Qaeda.

AS akhirnya memutuskan untuk keluar dari Afghanistan dan pasukan tentera AS yang terakhir meninggalkan negara itu adalah pada pagi 31 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.