
Peristiwa cuaca “bersejarah” ini didakwa diakibatkan oleh perubahan iklim.
Hujan yang turun mencatat rekod dan mendorong amaran kecemasan banjir kilat dikeluarkan buat pertama kalinya di New York City.
Jalan-jalan bertukar menjadi “sungai” dan perkhidmatan kereta api bawah tanah dihentikan apabila air melimpahi platform dan landasan.
“Saya berusia 50 tahun dan tidak pernah melihat hujan selebat ini,” kata Metodija Mihajlov, pemilik restoran di Manhattan yang ruang bawah tanahnya dibanjiri setinggi tiga inci air.
Ratusan penerbangan dibatalkan di lapangan terbang LaGuardia dan JFK, serta Newark, di mana video menunjukkan satu terminal ditenggelami air hujan.
“Kita semua hadapi ini bersama-sama. Negara bersedia bantu,” kata Presiden Amerika Syarikat Joe Biden sebelum melawat Louisiana, di mana Taufan Ida sebelum ini memusnahkan bangunan-bangunan dan mengakibatkan jutaan rumah kehilangan tenaga elektrik.
Jalan-jalan utama di New Jersey dan New York, termasuk di Manhattan, The Bronx dan Queens ditutup akibat banjir yang menenggelamkan kenderaan dan menyebabkan ratusan orang terpaksa diselamatkan bomba.
Sekurang-kurangnya 23 orang terkorban di New Jersey, kata Gabenor Phil Murphy kepada wartawan.
“Sebilangan besar kematian ini adalah individu yang terperangkap di dalam kenderaan mereka,” katanya.
Seramai 12 orang meninggal dunia di New York City, termasuk 11 yang tidak dapat melarikan diri dari ruang bawah tanah mereka, kata polis.
Mangsa berumur antara 2 dan 86 tahun.
“Antara individu paling berisiko ketika banjir kilat adalah mereka yang tinggal di kediaman bawah tanah yang tidak mematuhi peraturan keselamatan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa,” kata perwakilan Alexandria Ocasio-Cortez dalam satu ciapan.
“Mereka adalah golongan pekerja, pendatang dan individu dan keluarga berpendapatan rendah.”
Taufan Ida membawa kemusnahan ke arah utara selepas melanda Louisiana pada hujung minggu, mengakibatkan banjir teruk dan puting beliung.
Situasi kecemasan diisytiharkan di New York dan New Jersey sementara Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran kecemasan banjir kilatnya yang pertama buat New York City menggesa orang ramai beralih ke tempat lebih tinggi.
NWS mencatatkan hujan sebanyak 80mm di Central Park dalam masa sejam, memecahkan rekod yang dicipta bulan lalu semasa Ribut Henri.