WHO pantau varian baharu Covid-19 dikenali ‘Mu’

WHO pantau varian baharu Covid-19 dikenali ‘Mu’

Mu yang dikenali secara saintifik sebagai B.1.621 mula dikesan di Colombia Januari lalu.

Selepas dikesan di Colombia, Mu sejak itu dilaporkan muncul di negara Amerika Selatan lain dan Eropah. (Gambar AP)
GENEVA:
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang memantau varian baharu Covid-19 dikenali sebagai “Mu” yang mula dikenal pasti di Colombia pada Januari lalu.

Mu, dikenali secara saintifik sebagai B.1.621, diklasifikasikan sebagai “variant of interest”, kata badan kesihatan dunia itu semalam menerusi buletin pandemik mingguannya.

WHO berkata, varian itu mempunyai mutasi yang menunjukkan risiko ketahanan terhadap vaksin dan menekankan kajian lanjut diperlukan untuk lebih memahaminya.

Timbul kebimbangan meluas terhadap kemunculan mutasi varian baharu, ketika kadar kes Covid-19 meningkat semula di seluruh dunia, dengan varian Delta sangat mudah merebak – khasnya dalam kalangan individu tidak divaksin – dan di wilayah yang melonggarkan langkah antivirus.

Semua virus, termasuk SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, bermutasi dari semasa ke semasa dan kebanyakan mutasi mempunyai sedikit atau tiada kesan pada sifat virus.

Tetapi, mutasi tertentu boleh mempengaruhi sifat virus dan berapa mudah ia menular, keseriusan penyakit yang disebabkannya dan ketahanannya terhadap vaksin, ubat serta langkah balas lain.

WHO sudah mengenal pasti empat varian membimbangkan Covid-19, termasuk Alpha yang muncul di 193 negara dan Delta di 170 negara.

Lima varian, termasuk Mu, sedang dipantau.

Selepas dikesan di Colombia, Mu sejak itu dilaporkan muncul di negara Amerika Selatan lain dan Eropah.

WHO berkata, kadar penularan globalnya merosot ke bawah 0.1% dalam kalangan kes berjujuk.

Tetapi di Colombia, ia adalah 39%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.