Serangan beberapa roket di lapangan terbang Kabul, pemindahan bakal tamat

Serangan beberapa roket di lapangan terbang Kabul, pemindahan bakal tamat

Seorang pegawai keselamatan yang berkhidmat dengan kerajaan terdahulu berkata, roket itu dilepaskan dari sebuah kenderaan di utara Kabul.

Kepulan asap kelihatan di kawasan utara dekat lapangan terbang di Kabul. (Gambar Twitter rahulrajnews)
KABUL:
Beberapa roket dilepaskan ke arah lapangan terbang di Kabul hari ini, kata saksi dan sumber keselamatan, kurang 48 jam sebelum Amerika Syarikat selesai mengeluarkan pasukan tenteranya dari Afghanistan.

Bunyi roket dilepaskan di ibu negara Afghanistan itu didengari kakitangan AFP sebelum waktu sibuk pada pagi tadi.

Seorang pegawai keselamatan yang berkhidmat dengan kerajaan terdahulu yang digulingkan Taliban dua minggu lalu berkata, roket dilepaskan dari sebuah kenderaan di utara Kabul.

Bunyi sistem pertahanan peluru berpandu lapangan terbang dapat didengari penduduk tempatan, yang turut melaporkan serpihan roket jatuh di jalanan – menunjukkan sekurang-kurangnya satu roket sudah dipintas.

Kepulan asap boleh dilihat menjulang di atas bangunan di bahagian utara, kawasan terletaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai.

Catatan media sosial – yang tidak dapat disahkan segera – turut menunjukkan sebuah kenderaan terbakar selepas terkena tembakan balas.

Butiran lanjut tidak dapat diperolehi segera.

Pemindahan warga asing dan rakyat Afghanistan yang dianggap berisiko dihukum Taliban kerana bekerjasama dengan pasukan pimpinan AS sejak 20 tahun lalu, kini dalam peringkat terakhir dan akan tamat secara rasmi esok apabila pasukan terakhir tentera AS meninggalkan negara itu.

Kumpulan IS, seteru Taliban, mendatangkan ancaman terbesar terhadap penarikan AS itu selepas melancarkan serangan berani mati di lapangan terbang itu minggu lalu yang meragut lebih 100 nyawa, termasuk 13 anggota tentera AS.

Presiden AS, Joe Biden memberi amaran lebih banyak serangan mungkin berlaku dan Washington berkata, ia melancarkan serangan udara ke atas sebuah kenderaan dipenuhi bahan letupan di Kabul pada malam Ahad lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.