
Gelombang keempat Covid-19 di negara itu menunjukkan beberapa petanda reda enam minggu selepas peraturan penjarakan sosial Tahap 4 yang paling ketat, termasuk larangan mengadakan perhimpunan membabitkan lebih dua orang selepas 6 petang, dilaksanakan di Seoul.
Data Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) menunjukkan Korea Selatan mencatatkan 2,052 kes baharu Covid-19 semalam, dengan 2,001 daripadanya ialah kes penularan tempatan.
Sebagai sebahagian daripada sekatan dilanjutkan itu, pihak berkuasa mengarahkan restoran dan kafe di kawasan metropolitan itu ditutup sejam lebih awal pada 9 malam hingga 5 Sept ini, kata Perdana Menteri, Kim Boo-kyum dalam mesyuarat respons Covid.
Di wilayah sama, walaupun hanya dua orang dibenarkan berkumpul selepas 6 petang sebelum ini, seorang atau dua individu yang divaksin sepenuhnya kini boleh menyertai himpunan mereka, 14 hari selepas suntikan terakhir mereka.
Insentif ini dilaksanakan untuk menggalakkan vaksinasi dan meningkatkan ekonomi, khasnya perniagaan seperti restoran dan kafe yang teruk terjejas akibat sekatan berterusan.
Korea Selatan sudah memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin kepada 48.3% daripada 52 juta populasinya, manakala 21.6% sudah divaksin sepenuhnya.
Ia menyasarkan 70% populasinya divaksin sepenuhnya menjelang Oktober ini.
Dengan memberikan vaksin kepada warga emas dan golongan rentan, negara itu tidak mencatatkan peningkatan ketara kematian Covid-19, dengan kadar kematian sebanyak 0.94%, tetapi jumlah kes teruk dan kritikal dalam peningkatan, dengan 385 kes dilaporkan semalam.
KDCA merekodkan keseluruhan 232,859 kes Covid-19 dan 2,197 kematian sejak pandemik itu bermula.