
Dalam satu siri catatan Twitter pada Isnin yang memperincikan keadaan beliau bekerja di bank sehingga militan muncul di pintu masuk bandar itu, pemangku gabenor, Ajmal Ahmady berkata, bekalan dolar AS berkurangan.
“Saya mula bekerja pada Ahad. Laporan sepanjang pagi semakin membimbangkan. Saya meninggalkan bank dan timbalan gabenor. Saya tidak sedap hati meninggalkan kakitangan.
“Ia tidak perlu berakhir dengan cara ini. Saya jijik dengan kurang perancangan oleh pucuk pimpinan Afghan. Nampak mereka di lapangan terbang tanpa memaklumkan orang lain.”
Ghani melarikan diri dari Afghanistan Ahad lalu, ketika militan Taliban memasuki Kabul hampir tanpa tentangan.
Ketibaan mereka, tidak sampai seminggu selepas menawan ibu kota wilayah Zaranj, mengelirukan, kata Ahmady, 43.
Beliau dilantik sebagai pemangku gabenor Bank Pusat Afghanistan lebih setahun lalu, selepas berkhidmat dengan Perbendaharaan AS, Bank Dunia dan ekuiti swasta, menurut biografi ringkas yang disiarkan dalam laman web kerajaan.
“Nampak sukar dipercayai, tetapi masih ada keraguan mengapa (Pasukan Keselamatan Negara Afghan) meninggalkan tugas mereka begitu cepat,” kata Ahmady merujuk dakwaan sesetengah pemimpin militia prokerajaan yang penyerahan tentera di utara Afghanistan disebabkan konspirasi.
“Ada perkara yang tidak dijelaskan.”
Ahmady tidak menjawab e-mel dan mesej Reuters untuk mengulas. Kenyataannya dimuat naik ke akaun Twitter disahkan. Sumber Bank Dunia yang berkomunikasi dengan Ahmady memaklumkan akaun itu asli.
Dengan kemaraan Taliban, Ahmady berkata, pasaran mata wang Afghanistan dalam keadaan panik, khasnya selepas Bank Pusat pada Jumaat lalu diberitahu ia tidak akan menerima sebarang dolar, menyebabkan mata wang Afghanistan merosot secara mendadak.
“Saya mengadakan mesyuarat pada Sabtu untuk meyakinkan bank dan pengurup mata wang dalam usaha menenangkan mereka. Saya tidak percaya ia sehari sebelum kejatuhan Kabul.”
Katanya, mata wang jatuh ke paras 100 berbanding dolar, merosot kira-kira 23% sebelum ia kembali stabil pada 86.
Ahmady berkata, beliau menaiki pesawat tentera di tengah-tengah huru-hara, selepas sebuah pesawat komersial yang ditempahnya dibanjiri penumpang. Tidak jelas pesawat tentera mana yang dinaikinya dan beliau tidak menyatakan destinasinya.
“Ia tergesa-gesa. Beberapa tembakan dilepaskan. Entah bagaimana, rakan sekerja saya menolak saya menaiki pesawat.
“Sebaik saja pemergian presiden diumumkan, saya tahu huru-hara akan menyusul dalam beberapa minit. Saya tidak boleh memaafkannya kerana mencetuskan huru-hara tanpa rancangan peralihan.
“Beliau mempunyai idea hebat, tetapi pelaksanaan teruk. Jika saya turut menyebabkan perkara itu berlaku, saya sedia dipersalahkan.”