3 maut akibat terjun bangunan demi lari dari serbuan di Myanmar

3 maut akibat terjun bangunan demi lari dari serbuan di Myanmar

Portal berita Myanmar Now memetik penduduk sebagai berkata, kejadian pada Selasa itu berlaku di daerah Botahtaung, di Yangon.

Penunjuk perasaan berarak dengan memegang plakad ketika menyertai protes di Yangon pada 14 Julai lalu. (Gambar AP)
YANGON:
Sekurang-kurangnya tiga maut dan beberapa lagi cedera parah, selepas terjun dari sebuah pangsapuri di Yangon, ketika cuba melarikan diri daripada serbuan pasukan keselamatan, menurut laporan media.

Sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih rakyat pada Februari lalu, negara itu dilanda krisis dengan hampir setiap hari berlaku bantahan dan pertempuran antara pasukan tentera dan militia.

Portal berita Myanmar Now memetik penduduk sebagai berkata, kejadian pada Selasa itu berlaku di daerah Botahtaung, di Yangon.

Laporan itu yang menunjukkan gambar tiga orang terlantar di sebuah lorong, dengan dua daripadanya cedera dan kemudiannya dihantar ke hospital oleh ambulans.

Radio Free Asia yang dibiayai Amerika Syarikat, dalam laporan yang dimuat naik ke Facebook berkata, semua lima individu yang terbabit dalam kejadian itu – empat lelaki dan seorang wanita – kemudiannya meninggal dunia.

Tin Zaw, bapa seorang daripada belia yang maut itu dalam wawancara dengan RFA berkata, anak lelakinya yang berusia 27 tahun itu ditahan pasukan keselamatan Februari lalu, tetapi sudah dibebaskan dengan bantuannya.

Katanya, anaknya tidak pernah berminat dengan politik sebelum rampasan kuasa awal tahun ini, tetapi sejak tentera mengambil alih, dia cuba menentang junta.

“Tiada organisasi besar menyokongnya,” kata Tin Zaw yang bangga dengan anaknya.

Soe Myat Thu, suami kepada wanita berusia 29 tahun yang dipercayai antara mangsa korban itu, memberitahu Reuters yang beliau belum menerima mayatnya.

“Saya sangat sedih dengan kematian isteri saya. Beliau meninggalkan seorang anak perempuan,” katanya ketika dihubungi.

Reuters tidak dapat mengesahkan apa yang berlaku dan jurucakap tentera tidak menjawab panggilan untuk mengulas.

Tetapi, laporan kejadian itu mengejutkan pelbagai pihak di Myanmar yang sudah biasa dengan tajuk berita harian mengenai kematian dan keganasan.

“Meme” mengenai kejadian itu tular di media sosial, termasuk satu daripadanya menunjukkan bayang manusia terjun dari sebuah bangunan ke sebuah padang dipenuhi bunga matahari.

Pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 965 orang dalam tempoh lebih enam bulan sejak rampasan kuasa, menurut Assistance Association for Political Prisoners, kumpulan aktivis berpangkalan di Thailand, walaupun junta menafikan angka korban tinggi itu dan mendakwa ramai anggota tentera turut terbunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.