
Sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh pantai timur, termasuk tiga bandar terbesar Australia – Sydney, Melbourne dan Brisbane – menyebabkan lebih 60% daripada 25 populasi negara itu di bawah perintah ketat duduk di rumah.
Victoria, yang dihuni hampir 7 juta orang, melaksanakan “lockdown” keenam pada malam Khamis, sejak pandemik itu bermula, hanya beberapa minggu selepas sekatan pergerakan terakhir, mengejutkan penduduk sehingga menyaksikan bantahan antisekatan pergerakan berlaku di Melbourne.
Enam kes penularan tempatan dikesan di Victoria pada Jumaat, sehari selepas beberapa jangkitan baharu yang tiada kaitan tiba-tiba muncul di Melbourne. Ia melaporkan lapan kes pada Khamis.
Daripada kes yang dikesan pada Jumaat itu, Jabatan Kesihatan negeri berkata, semuanya dikaitkan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini, tetapi tidak dikuarantin dalam tempoh jangkitan.
Di Brisbane, pihak berkuasa melaporkan 10 kes baharu berbanding 16 kes sehari sebelumnya dan mereka berharap “lockdown” boleh dibatalkan seperti dirancang pada Ahad memandangkan semuanya kecuali dua kes diasingkan sebelum disahkan positif.
Penduduk Newcastle, bandar kedua terbesar di negeri jiran New South Wales, turut melaksanakan “lockdown” selama seminggu mulai Khamis, selepas kes baharu dikaitkan dengan sebuah parti di pantai yang dihadiri beberapa penduduk Sydney dijangkiti Covid-19.
Sydney, bandar paling teruk terjejas, melaporkan 262 kes sehari sebelumnya, lonjakan kes harian tertinggi setakat ini, walaupun di bawah “lockdown” selama seminggu, dengan pegawai bersedia menangani lebih banyak kes akibat peningkatan jumlah orang yang dijangkiti dalam komuniti.
Varian Delta yang pantas merebak menguji kejayaan Australia menangani krisis Covid-19 yang mencatatkan jumlah jangkitan rendah, iaitu lebih 35,350 kes dan 932 kematian.
Tetapi, sekatan pergerakan berulang kali ketika pelancaran kempen vaksinasi yang perlahan, dengan hanya 21% rakyat berusia 16 tahun ke atas divaksin sepenuhnya, mengecewakan penduduk.
Perdana Menteri, Scott Morrison, yang dikritik atas vaksinasi perlahan, menyalahkan kelewatan itu atas pertukaran nasihat perubatan terhadap vaksin AstraZeneca yang dihasilkan dalam negara itu, susulan kebimbangan mengenai pembekuan darah yang jarang berlaku dan kekangan bekalan untuk vaksin Pfizer.