Covid-19 merebak semula, Wuhan akan saring semua 11 juta penduduk

Covid-19 merebak semula, Wuhan akan saring semua 11 juta penduduk

Semalam, tujuh kes penularan tempatan dikesan dalam kalangan pekerja migran di Wuhan, selepas setahun tiada kes tempatan dilaporkan.

Makmal sementara untuk ujian asid nukleik dibina dalam sebuah stadium di Nanjing, wilayah Jiangsu pada 27 Julai lalu. Pemandu yang mahu keluar dari wilayah di timur China itu perlu menunjukkan keputusan ujian saringan Covid-19 negatif yang dilakukan dalam tempoh 48 jam atau mereka perlu berpatah balik. (Gambar AP)
BEIJING:
Pihak berkuasa di Wuhan mengumumkan ujian saringan Covid-19 akan dijalankan ke atas semua 11 juta penduduknya, lebih setahun selepas jangkitan tempatan pertama virus itu mula dikesan di bandar itu.

Pegawai kanan Wuhan, Li Tao dalam sidang media hari ini berkata, bandar itu “segera melancarkan ujian asid nukleik menyeluruh untuk semua penduduknya”.

Semalam, pegawai Wuhan mengumumkan tujuh jangkitan penularan tempatan dikesan dalam kalangan pekerja migran di bandar itu, selepas setahun tanpa kes tempatan susulan penularan kali pertama dengan pelaksanaan “lockdown” penuh bersejarah pada awal 2020.

China melarang penduduknya keluar rumah, rangkaian pengangkutan digantung dan ujian besar-besaran dilancarkan dalam beberapa hari ini, ketika ia berusaha memerangi penularan Covid-19 terbesar dalam beberapa bulan.

China melaporkan 61 kes tempatan pada Selasa, ketika varian Delta yang cepat merebak dikesan di puluhan bandar, susulan penularan dalam kalangan pembersih lapangan terbang di Nanjing yang mencetuskan rangkaian kes di seluruh negara.

Bandar utama termasuk Beijing kini menjalankan ujian saringan ke atas jutaan penduduknya sambil mengepung kawasan perumahan dan kontak rapat dikuarantin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.