
Di peringkat awal, vaksin akan diberikan kepada pelarian berusia 55 tahun ke atas, kata Setiausaha Luar Negeri Masud Momen kepada wartawan semalam.
Katanya, had umur itu akan diturunkan secara beransur-ansur apabila lebih banyak bekalan vaksin diterima.
“Pelarian akan diberi vaksin yang sama dengan warga Bangladesh di Cox’s Bazar, tiada diskriminasi antara penduduk tempatan dan Rohingya,” kata Momen, menurut laporan Anadolu.
Keputusan itu dibuat hasil daripada mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan keselamatan kesihatan pelarian, tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, timbul kesulitan untuk mengendalikan beberapa jenis vaksin yang diperoleh melalui kemudahan COVAX, namun kaedah penyimpanan vaksin Sinopharm China lebih mudah.
Sebelum ini, kerajaan Bangladesh berkata, ia akan mula memberi vaksin kepada kira-kira 50,000 pelarian.
Berikutan lonjakan kes melibatkan varian Delta, jumlah kematian Rohingya di kem pelarian terbesar di dunia itu meningkat kepada 27 dan jangkitan sebanyak 2,355 kes.
Bangladesh kini menempatkan hampir 1.2 juta Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan tentera di Rakhine, Myanmar pada Ogos 2017.