
Gempa dengan kekuatan 6.7 magnitud itu berlaku di Pulau Luzon pada 4.48 pagi tadi pada kedalaman 112km.
Ia disusuli dengan satu lagi gegaran yang juga agak dalam berukuran 5.8 magnitud dan ia dilaporkan berlaku beberapa minit kemudian.
“Ia sangat kuat, kami berjaga-jaga,” kata jurucakap polis perbandaran Calatagan, wilayah Batangas, Ronnie Aurellano.
“Keadaan di sini juga dilanda hujan lebat namun penduduk sudah biasa dengan kejadian gempa bumi. Mereka tahu untuk tunduk, berjaga-jaga dan mencari perlindungan sekiranya berlakunya gempa bumi.”
“Kami memeriksa kawasan yang terletak di dataran rendah sekiranya ada yang dilanda tsunami,” katanya.
Agensi Seismologi Filipina berkata ia tidak menjangkakan berlakunya sebarang kemusnahan manakala Sistem Amaran Tsunami AS juga tidak menerima sebarang amaran atau ancaman tsunami.
“Ia tidak begitu kuat berbanding gempa yang berlaku sebelum ini dan tiada kemusnahan dilaporkan kepada kami,” kata polis di Mabini Berni Faderogao.
“Pintu hanya bergoncang tetapi tidak rosak.”
Kawasan kepulauan itu sering digegarkan dengan kejadian gempa bumi berikutan lokasinya yang terletak di lingkaran api Pasifik iaitu lengkungan aktiviti seismik kuat yang bermula dari Jepun ke Asia Tenggara dan melintasi lembangan Pasifik.