
Geng bersenjata – dikenali sebagai perompak oleh penduduk tempatan – sudah lama wujud di barat laut dan tengah Nigeria dengan merompak, mencuri ternakan serta menculik bagi mendapatkan tebusan.
Pada 8 Julai lalu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Kampung Manawa dan menculik 100 penduduknya, termasuk wanita serta kanak-kanak, kemudiannya membawa ke tempat persembunyian mereka dalam hutan, menurut jurucakap polis di negeri Zamfara dalam kenyataan.
Tebusan biasanya dibebaskan selepas mendapat wang, manakala ada yang dibunuh kerana keluarga gagal membayar wang tebusan.
Tetapi, Mohammed Shehu berkata, kali ini tebusan dibebaskan “tanpa syarat” dan dijamin “tanpa memberikan sebarang keuntungan dari segi kewangan atau barang” kepada geng itu.
Sumber yang biasa dengan rundingan itu memberitahu AFP, penculik bersetuju membebaskan kumpulan penduduk kampung terbabit selepas polis dan pihak berkuasa “memberi jaminan tiada tindakan akan diambil terhadap mereka kerana menculik”.
Shehu berkata, tebusan yang dibebaskan itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum disatukan semula dengan keluarga mereka.
Geng penyamun beroperasi dari kem di hutan Rugu yang luas, yang merentasi negeri Zamfara, Katsina dan Kaduna di Nigeria, serta negara jiran Niger.
Dahulu, tentera udara Nigeria menyerang kem penyamun itu, manakala beberapa negeri di utara cuba berunding dengan geng itu dengan menawarkan pengampunan sebagai balasan untuk pelucutan senjata.
Tetapi, penggunaan pasukan tentera dan cubaan perjanjian damai gagal menamatkan keganasan itu.
Isnin lalu, 13 anggota polis yang dikerahkan untuk melindungi sebuah kampung daripada serangan, maut diserang sebuah geng di Zamfara.
Penjenayah baru-baru ini memfokuskan untuk menyerang sekolah dan menculik pelajar bagi mendpaatkan wang tebusan daripada ibu bapa.