
Michael Lynk, wakil khas PBB bagi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang dijajah, berkata demikian pada sesi Majlis Hak Asasi PBB diboikot Israel, yang tidak bekerjasama dengannya atau mengiktiraf mandatnya.
“Saya simpulkan bahawa penempatan Yahudi ini bersamaan dengan jenayah perang,” kata Lynk.
Menurutnya, penempatan berkenaan menyalahi larangan terhadap sesuatu kuasa mengubah sebahagian daripada populasi awamnya menjadi wilayah dijajah, seterusnya memenuhi definisi jenayah perang mengikut Statut Rom yang menjadi asas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Saya berhujah dapatan ini mendesak masyarakat antarabangsa meletakkan pendirian jelas terhadap Israel bahawa penjajahan haramnya, serta keingkarannya terhadap undang-undang dan pandangan antarabangsa tidak patut dibiarkan,” kata Lynk pada forum hak asasi di Geneva itu.
Banyak negara menganggap penempatan berkenaan sebagai melanggar undang-undang antarabangsa. Perkara itu bagaimanapun dipertikaikan Israel yang memetik faktor agama, sejarah serta keselamatan mengaitkannya dengan kawasan itu.
Dalam kenyataan berasingan, Lynk berkata penempatan Yahudi menjadi “alat penjajahan Israel selama 54 tahun.” Kini terdapat hampir 300 penempatan di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat, dengan lebih 680,000 penjajah Israel, katanya.
Duta Kesatuan Eropah ke PBB di Geneva, Lotte Knudsen berkata, penempatan berkenaan tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa seterusnya mencerminkan pendirian kebanyakan negara lain.
“Perbuatan seperti pengusiran, memaksa pemindahan penduduk dan meroboh atau merampas kediaman hanya akan meningkatkan ketegangan.”
Duta Palestin Ibrahim Khraishi berkata, Israel telah menahan 5,000 orang Palestin, malah ada antaranya sejak lebih 20 tahun lalu.