Turki tarik diri secara rasmi daripada triti cegah keganasan terhadap wanita

Turki tarik diri secara rasmi daripada triti cegah keganasan terhadap wanita

Ribuan orang bercadang menyertai bantahan di seluruh Turki, dengan rayuan mahkamah untuk menghentikan penarikan itu ditolak minggu ini.

Penunjuk perasaan ditahan polis dalam satu perarakan gay di Istanbul pada 26 Jun lalu. (Gambar AP)
ANKARA:
Turki secara rasmi menarik diri daripada satu triti antarabangsa untuk mencegah keganasan terhadap wanita pada Khamis, dengan melaksanakan keputusan yang dikecam ramai rakyatnya dan sekutu Barat ketika Presiden Tayyip Erdogan mengumumkannya Mac lalu.

Ribuan orang bercadang menyertai bantahan di seluruh Turki, dengan rayuan mahkamah untuk menghentikan penarikan itu ditolak minggu ini.

“Kami akan meneruskan perjuangan kami,” kata Presiden Persekutuan Persatuan Wanita Turki, Canan Gullu pada Rabu.

“Turki mencetuskan masalah kepada dirinya dengan keputusan ini.”

Katanya, sejak Mac lalu, wanita dan kumpulan rentan lain enggan meminta bantuan dan kurang cenderung menerimanya, dengan Covid-19 mencetuskan kesulitan ekonomi yang menyebabkan keganasan terhadap wanita meningkat secara drastik.

Konvensyen Istanbul dibincangkan di bandar terbesar di Turki dan ditandatangani pada 2011, yang mewajibkan mereka mencegah serta mendakwa individu terbabit keganasan rumah tangga dan mempromosikan kesamaan.

Penarikan Ankara itu mendapatkan kecaman daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, dengan pengkritik berkata ia menyebabkan Turki semakin jauh daripada blok yang dimohon untuk disertainya pada 1987.

Kes pembunuhan wanita meningkat di Turki, dengan sebuah kumpulan pemantau merekodkan kira-kira satu kes setiap hari sejak lima tahun lalu.

Penyokong konvensyen itu dan perundangan berkaitan berkata, pelaksanaan lebih ketat diperlukan.

Tetapi, ramai konservatif di Turki dan dalam Parti AK yang diterajui Erdogan berkata, pakatan itu merosakkan struktur keluarga yang melindungi masyarakat.

Ada yang melihat konvensyen itu mempromosikan homoseksual melalui prinsipnya tidak mendiskriminasi atas dasar orientasi seksual.

“Penarikan diri negara kita daripada konvensyen itu tidak akan membawa sebarang kekurangan undang-undang atau amalan dalam pencegahan keganasan terhadap wanita,” kata pejabat Erdogan dalam kenyataan kepada mahkamah pentadbiran Selasa lalu.

Bulan ini, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Majlis Eropah, Dunja Mijatovic menghantar surat kepada menteri dalam negeri dan kehakiman Turki untuk menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan naratif homofobia sesetengah pegawai, dengan ada yang menyasarkan konvensyen itu.

“Semua langkah yang disediakan Konvensyen Istanbul mengukuhkan asas dan hubungan keluarga dengan mencegah serta memerangi punca utama kemusnahan keluarga, iaitu keganasan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.