Virus menular di New South Wales, beberapa menteri positif Covid-19

Virus menular di New South Wales, beberapa menteri positif Covid-19

Sebanyak 11 kes tempatan baharu dilaporkan, menjadikan jumlah jangkitan dalam cetusan terbaru menjadi lebih daripada 40.

Seorang pengawal keselamatan mengambil suhu badan pengunjung pusat beli belah di Sydney pada Januari. (Gambar AP)
SYDNEY:
Negeri terpadat di Australia, New South Wales (NSW), melaporkan kenaikan dua angka kes tempatan baharu Covid-19 bagi hari ketiga berturut-turut di kala seorang menteri kerajaan negeri dikesan positif dan Menteri Kesihatan diarahkan menjalani kuarantin kendiri.

Sebanyak 11 kes tempatan baharu dilaporkan, menjadikan jumlah jangkitan dalam cetusan terbaru menjadi lebih daripada 40.

NSW berusaha membendung cetusan baharu varian Delta yang sangat menular di Sydney, bandar terbesar di Australia yang didiami satu perlima daripada 25 juta penduduk negara itu.

Pegawai kesihatan berkata, penularan boleh terjadi walaupun hanya dengan kontak minimum dengan individu dijangkiti.

Menteri Pertanian NSW Adam Marshall mengumumkan dalam kenyataan bahawa beliau dikesan positif Covid-19.

Menteri Kesihatan Brad Hazzard pula berkata, beliau diminta menjalani kuarantin kendiri setelah dianggap menjadi kontak rapat positif, yang menimbulkan kebimbangan mengenai penularan virus di Parlimen negeri.

Parlimen negeri hari ini mengeluarkan senarai terhad ahli politik yang dibenarkan masuk ke dalam dewan.

Pihak berkuasa NSW mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua lokasi tertutup di Sydney, termasuk pejabat, melarang penduduk di tujuh kawasan majlis tempatan di timur dan barat Sydney daripada meninggalkan bandar, dan menghadkan perjumpaan di rumah kepada lima orang untuk membendung cetusan pertama wabak dalam tempoh lebih sebulan.

Sekatan segera, peraturan penjarakan fizikal yang ketat dan pengesanan kontak yang pantas telah membantu Australia untuk mengatasi cetusan wabak pada masa lalu tetapi pegawai NSW setakat ini menolak seruan untuk mengadakan sekatan ketat di negeri berkenaan.

Australia melaporkan kurang 30,400 kes dan 910 kematian sejak wabak mula melanda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.