
Lebih 30 orang dijangkiti Covid-19 sejak kluster membabitkan varian berkenaan muncul di kawasan Pantai Bondi minggu lalu, yang terbaru dalam rentetan cetusan wabak di Australia.
Ketua Menteri New South Wales (NSW) Gladys Berejiklian mengumumkan sekatan baharu yang akan berkuat kuasa minggu depan, termasuk larangan segera terhadap perjalanan yang tidak perlu dari Sydney dan had bagi perjumpaan sosial.
Katanya, larangan berkenaan terpakai bagi “sebilangan besar” daripada lima juta penduduk Sydney, termasuk di tujuh wilayah kerajaan tempatan di mana kes-kes Covid-19 telah dikesan.
Premis restoran dan bar belum ditutup, tetapi aktiviti menyanyi dan menari dilarang, manakala acara-acara utama masih boleh diteruskan dengan kapasiti stadium dihadkan kepada 50%
“Saya faham, menerusi pengalaman … keletihan dan perasaan apati terhadap tindak balas berkait virus wujud pada satu tahap,” kata Menteri Kesihatan NSW Brad Hazzard.
“Namun, ini adalah versi virus yang baharu dan lebih berbahaya, dan perasaan apati itu perlu diketepikan.”
Australia adalah antara negara yang paling berjaya mengawal penularan Covid-19, dengan hanya lebih 30,000 kes dan 910 kematian dicatatkan.
Cetusan terbaru wabak telah dikaitkan dengan seorang pemandu kru penerbangan antarabangsa yang dijangkiti varian Delta, yang pertama kali dikesan di India.
Pihak berkuasa New Zealand turut mengetatkan sekatan berkait Covid-19 di Wellington selepas seorang lelaki dari Sydney yang mengunjungi ibu negara itu pada hujung minggu dikesan positif setelah pulang.
Secara kasarnya, 6.7 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi seramai 25 juta, dengan hanya sebilangan kecil lengkap menerima dua dos.