Krisis Covid Indonesia meruncing, kes cecah 2 juta, hospital sesak

Krisis Covid Indonesia meruncing, kes cecah 2 juta, hospital sesak

Krisis itu memaksa pihak berkuasa mengumumkan perintah sekatan yang lebih ketat.

Orang ramai mendaftar untuk menerima suntikan Covid-19 pada kempen vaksinasi massa di Jakarta hari ini. (Gambar AP)
JAKARTA:
Jumlah kes Covid-19 Indonesia kini melepasi 2 juta selepas jangkitan hari ini mencatatkan rekod baharu.

Krisis itu memaksa pihak berkuasa mengumumkan perintah sekatan yang lebih ketat untuk membendung penularan wabak di negara keempat terpadat di dunia itu.

Indonesia berdepan lonjakan kes Covid-19 bulan ini dengan 14,536 jangkitan baharu hari ini, menjadikan jumlahnya 2,004,445, antara jumlah kes tertinggi di Asia.

Ia turut mencatatkan 294 kematian baharu, menjadikan jumlah kematian kepada 54,956.

Peraturan yang lebih ketat akan dilaksanakan selama dua minggu di 29 “zon merah” di seluruh negara di mana kadar jangkitan tinggi, dengan aktiviti keagamaan di rumah ibadah ditangguhkan dan restoran, kafe dan pusat membeli-belah perlu beroperasi pada kapasiti 25%, kata Menteri Ekonomi Penyelaras Airlangga Hartarto.

Daerah-daerah tersebut meliputi Kudus di Jawa, Bangkalan di pulau Madura dan beberapa bagian dari Riau, di Sumatera, dan ibu kota Jakarta, di mana polis mengumumkan perintah berkurung di10 lokasi dari jam 9 malam hingga 4 pagi.

Sektor perlu seperti perkhidmatan asas dibenar beroperasi pada kapasiti normal dengan protokol kesihatan yang lebih ketat, sementara pejabat di luar kawasan zon merah mesti beroperasi dengan kapasiti di bawah 50%.

“Presiden turut dimaklumkan bahawa 87 daerah dan kota kini berdepan kapasiti hospital melebihi 70%,” kata Airlangga pada sidang media, menjelaskan alasan sekatan itu dilaksanakan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia minggu lalu mendesak Indonesia untuk mengetatkan sekatan berikutan lonjakan penularan dan peningkatan jumlah penggunaan katil di hospital.

Di daerah Kudus, di mana ratusan pekerja kesihatan telah dijangkiti, kadar penggunaan katil melebihi 90% minggu lalu.

Pakar kesihatan awam berkata pergerakan merentas daerah dan kota yang tidak terkawal ketika cuti Aidilfitri dan penularan varian Delta yang lebih mudah dijangkiti menyumbang kepada lonjakan itu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.