
Pada tahun lalu untuk mengekang wabak Covid-19, Thailand mengenakan syarat kemasukan dan langkah kuarantin yang ketat, menyaksikan ketibaan pelancong menurun kepada 6.7 juta pada 2020 berbanding hampir 40 juta pada 2019.
Mulai 1 Julai, pulau peranginan Phuket bakal menyambut ketibaan pelancong yang sudah lengkap divaksin di bawah program “Phuket Sandbox” manakala destinasi popular lain seperti Koh Samui, Koh Phang Nga dan Koh Tao dijadual dibuka kepada pelancong dari 15 Julai menerusi program “Samui Plus”.
Dalam satu kenyataan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) berkata, pendekatan ‘island approach’ akan diteruskan pada Ogos dan diperluaskan ke Koh Phi Phi, Koh Ngai dan Koh Railay atau “Phang Nan Prompt” (yang menghubungkan Khao Lak dan Koh Yao).
Dari September, TAT menyatakan beberapa pendekatan lain akan dilancarkan membabitkan beberapa daerah di Chiang Mai, Chon Buri serta Buri Ram.
Bermula Oktober atau pada suku keempat pula, Bangkok, Cha-Am dan Hua Hin, serta destinasi Thailand yang lain siap untuk dibuka semula kepada pelancong asing sudah lengkap divaksin tanpa perlu menjalani dikuarantin.
Gabenor TAT Yuthasak Supasorn berkata 70 peratus penduduk di Buri Ram perlu disuntik sebagai persiapan penganjuran MotoGP Thailand 2021 di Litar Antarabangsa Chang pada 8-10 Oktober.
Pelan pembukaan semula untuk tujuan pelancongan ini perlu mematuhi syarat bahawa setiap wilayah itu sudah memvaksin 70 peratus penduduknya dan kes jangkitan tidak boleh melebihi 20 hingga 30 sehari.
Pada 16 Jun, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengumumkan Thailand akan membuka semula pintunya kepada pelancong yang lengkap divaksin, dalam tempoh 120 hari atau pada pertengahan Oktober untuk merancakkan semula ekonominya yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Thailand merancang menyuntik 50 juta rakyatnya dengan sekurang-kurangnya dos pertama menjelang awal Oktober.
Secara keseluruhan Thailand setakat ini mencatatkan 214,449 kes dan 1,609 kematian setakat ini dengan sepanjang 24 jam lalu, 3,667 kes baharu dan 32 lagi korban dilaporkan.
Daripada kes baharu itu 3,635 membabitkan penularan tempatan dan 32 kes import, kata Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA).
Kes kematian melibatkan 17 wanita dan 15 lelaki berusia antara 40 hingga 89 tahun termasuk 19 di Bangkok, masing-masing tiga di Nakhon Pathom dan Samut Prakan, masing-masing dua di Phetchaburi dan Khon Kaen, dan masing-masing satu di Samut Sakhon, Chon Buri dan Chachoengsao.