Thailand pertingkat usaha dapatkan lebih banyak vaksin

Thailand pertingkat usaha dapatkan lebih banyak vaksin

Ini bagi menjayakan rancangan untuk membuka kembali negara kepada pelancong yang divaksinasi sepenuhnya pada pertengahan Oktober.

Seramai 7.2 juta orang di Thailand telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat ini. (Gambar AP)
BANGKOK:
Thailand mempertingkat usaha vaksinasi berikutan rancangan untuk membuka kembali negara kepada pelancong yang divaksinasi sepenuhnya pada pertengahan Oktober.

Penolong jurucakap Kementerian Luar Negeri Natapanu Nopakun berkata Thailand merancang untuk mendapatkan 150 juta dos vaksin Covid-19 menjelang 2022, iaitu peningkatan 50 juta dos daripada sasaran sebelumnya untuk hampir 70 juta penduduknya bagi mencapai kekebalan kelompok.

Sehingga kini, katanya, seramai 7.2 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Sebanyak 6 juta dos vaksin Covid-19 diperoleh seperti yang dirancangkan pada Jun, dan sejak pelancaran vaksinasi pada 28 Februari lepas, jumlah yang telah divaksin dijangka mencecah 10 juta pada akhir Jun.

“Pada Julai, Kementerian Kesihatan Awam merancang untuk memperoleh 10 juta dos vaksin Covid-19,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Rabu mengumumkan Thailand akan membuka semula pintunya kepada pengunjung yang telah divaksin sepenuhnya pada pertengahan Oktober untuk menghidupkan kembali ekonominya yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Prayuth mengatakan pelancong asing yang telah divaksin sepenuhnya dan warga Thailand yang mahu pulang, akan dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin atau sekatan lain.

Sementara itu, Thailand mengurangkan sekatan Covid-19 di ‘kawasan yang dikawal ketat dan maksimum’ atau zon merah gelap iaitu Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, aktiviti yang melibatkan tidak lebih 50 orang dibenarkan.

Berkuat kuasa 21 Jun, katanya, restoran boleh beroperasi pada kapasiti 50 peratus hingga 11 malam tetapi dilarang menghidangkan alkohol.

Beliau menambah pasaraya dan pusat beli-belah boleh beroperasi sehingga 9 malam.

“Sekolah, universiti, pusat pembelajaran masih ditutup,” katanya menambah penggunaan pelitup muka diwajibkan di zon merah gelap.

Bagi ‘kawasan kawalan maksimum’ atau zon merah – 11 wilayah termasuk Chon Buri, Songkhla, Yala, dan Narathiwat, tiada had pelanggan untuk restoran yang boleh dibuka hingga 11 malam. Tetapi, dilarang menghidangkan minuman keras.

Dalam 24 jam terakhir, Thailand mencatatkan 3,058 kes Covid-19 baharu dan 22 kematian, menambah jumlah keseluruhan kepada 210,782 kes dan 1,577 kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.