China bakal lancar misi membawa manusia ke angkasa sejak kali terakhir pada 2016

China bakal lancar misi membawa manusia ke angkasa sejak kali terakhir pada 2016

Kru Shenzhou-12 akan tinggal di modul ruang angkasa yang mengorbit, Tianhe, selama tiga bulan.

Roket Shenzhou-12 dipindahkan ke tapak pelancaran di Gurun Gobi Rabu lalu. (Gambar AP)
BEIJING:
Sebuah kapal angkasa China akan dilancarkan dari Gurun Gobi dengan roket Long March tidak lama lagi, membawa tiga lelaki untuk tinggal selama tiga bulan di modul ruang angkasa yang mengorbit.

Ini adalah kali pertama China menghantar manusia ke angkasa dalam tempoh hampir lima tahun.

Shenzhou-12, yang bermaksud “Divine Vessel”, akan menjadi misi ketiga daripada 11 yang diperlukan untuk menyiapkan stesen angkasa China menjelang 2022.

Empat misi akan membawa manusia, berpotensi menghantar sehingga 12 angkasawan China ke angkasa, lebih daripada 11 lelaki dan wanita yang telah dihantar China sejak 2003.

Angkasawan China tidak begitu popular di peringkat antarabangsa, dengan undang-undang Amerika Syarikat melarang NASA mempunyai sebarang hubungan dengan China.

Ini bermaksud angkasawan China tidak pernah mengunjungi Stesen Angkasa Antarabangsa yang berusia lebih dua dekad, dan pernah dikunjungi oleh lebih daripada 240 lelaki dan wanita dari pelbagai negara.

China, yang menyasarkan untuk menjadi antara kuasa penjelajahan angkasa utama menjelang 2030, pada Mei menjadi negara kedua yang menempatkan rover di Marikh, dua tahun selepas ia mendaratkan kapal angkasanya yang pertama di sisi jauh Bulan.

China turut merancang untuk menghantar angkasawan ke Bulan, objek angkasa paling jauh pernah dikunjungi manusia.

Kru Shenzhou-12 akan tinggal di Tianhe, sebuah silinder berukuran 16.6m panjang dan berdiameter 4.2m.

Perancangan untuk tinggal selama tiga bulan ini akan memecahkan rekod negara berkenaan, iaitu selama 30 hari yang dicatatkan misi Chen Dong and dan Jing Haipeng ke sebuah stesen prototaip pada 2016, perjalanan ke angkasa terakhir dibuat China membawa kru.

Tiga lelaki daripada kumpulan pertama dan kedua angkasawan China akan menyertai misi ini, kata Yang Liwei, angkasawan pertama China yang kini menjadi pengarah Pejabat Kejuruteraan Angkasa Berawak China, kepada tabloid Global Times bulan lalu.

Pihak berkuasa lazimnya tidak mengumumkan kru sesebuah misi sehingga hampir sampai waktu, atau selepas, pelancaran namun penulis-penulis blog angkasa membuat spekulasi bahawa mereka adalah Nie Haisheng, yang pada usia 56 tahun akan menjadi angkasawan tertua China dihantar ke angkasa, Deng Qingming, 55, dan Ye Guangfu, 40.

Pejabat Kejuruteraan Angkasa Berawak China tidak memberi respons kepada Reuters apabila diminta.

Walaupun tiada wanita dijadualkan menyertai misi Shenzhou-12, mereka dijangka akan menyertai setiap misi selepas ini, kata Yang kepada Global Times.

China mula membina stesen angkasa pada April dengan pelancaran Tianhe, yang pertama dan terbesar daripada tiga modulnya.

Tahun ini, ia menyasarkan untuk menghantar kapal angkasa kargo robotik dan tiga angkasawan lagi, kali ini untuk tinggal selama enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.