Eriksen sedar di hospital, Denmark tewas 0-1 pada Finland selepas aksi disambung semula

Eriksen sedar di hospital, Denmark tewas 0-1 pada Finland selepas aksi disambung semula

Christian Eriksen tumbang secara tiba-tiba pada minit ke-42 ketika berlari berhampiran tepi sebelah kiri padang, selepas Denmark mendapat hantaran percuma.

Christian Eriksen beraksi dalam perlawanan Euro 2020 menentang Finland awal pagi tadi, sebelum tiba-tiba rebah ketika berlari di tepi padang. (Gambar AP)
COPENHAGEN:
Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen yang tiba-tiba rebah dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan ketika aksi Euro 2020 menentang Finland awal pagi tadi, kemudiannya sedar di hospital.

Perlawanan yang ditangguhkan itu bersambung semula pada 6.30 petang GMT, menurut ketua bola sepak Eropah, dengan Finland menundukkan Denmark 1-0.

Eriksen tumbang secara tiba-tiba pada minit ke-42 ketika berlari berhampiran sebelah kiri tepi padang, selepas Denmark mendapat hantaran percuma.

Rakan sepasukan, Martin Braithwaite dan Thomas Delaney bergegas membantunya, dengan Delaney menjerit meminta bantuan perubatan.

Ketika suasana hiruk-pikuk dengan kehadiran 16,000 penonton, rakan sepasukan Eriksen membentuk formasi bulatan di sekelilingnya untuk doktor dan pegawai perubatan memberi rawatan kecemasan sejurus sebelum separuh masa pertama aksi Kumpulan B itu tamat.

Seorang jurugambar Reuters di perlawanan itu melihat Eriksen mengangkat tangannya ketika beliau dibawa keluar dari padang, dan penyampai di stadium memaklumkan penonton, beliau sudah dikejarkan ke Rigshospitalet (hospital) yang terletak kira-kira 1km dari stadium.

Kedua-dua pasukan kemudiannya meninggalkan padang dan perlawanan ditangguhkan tanpa sebarang jaringan.

Pengumuman pemain kelab bola sepak Inter Milan di Itali itu dibawa ke hospital disambut dengan penonton melaungkan namanya.

Persatuan Bola Sepak Denmark (DBU) dalam Twitter berkata, pemain berusia 29 tahun itu “dalam keadaan sedar di Rigshospitalet untuk pemeriksaan lanjut”.

Idea untuk menyambung semula perlawanan datang daripada Eriksen sendiri.

“Kami sudah berhubung dengannya dan pemain bercakap dengan Christian. Itu adalah berita baik. Beliau dalam keadaan baik dan mereka meneruskan perlawanan demi Christian,” kata Pengarah DBU, Peter Muller.

Pemain kemudiannya kembali ke padang dan memanaskan badan, tetapi pasukan Denmark jelas terjejas dengan kejadian yang menimpa Eriksen, ada pemain yang mengesat air mata dan saling berpelukan.

Finland memenangi aksi pembukaan Kumpulan B itu dengan 1-0, hasil jaringan Joel Pohjanpalo pada minit ke-59, tetapi perlawanan berkenaan mencatatkan sejarah kerana salah seorang pemain terbaik Denmark mengejutkan dunia bola sepak lebih sejam.

Kemenangan itu meletakkan Finland dalam kedudukan baik untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

“Hari ini, kami semua adalah pemenang selagi proses pemulihan berjalan dengan baik…perkara lain adalah bonus dan kurang penting, kami sentiasa berdoa untuknya,” kata penjaga gol Finland, Lucas Hradecky.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.