Pihak berkuasa Myanmar arah Doktor Tanpa Sempadan henti tugas

Pihak berkuasa Myanmar arah Doktor Tanpa Sempadan henti tugas

MSF sudah menghubungi pihak berkuasa untuk “mempertimbangkan kembali” keputusan yang akan menjejaskan 2,162 orang penghidap HIV.

Pesakit bergantung kepada Doktor Tanpa Sempadan kerana kebanyakan hospital awam ditutup sejak Februari lalu. (Gambar Facebook)
YANGON:
Badan amal perubatan antarabangsa memberi amaran ribuan nyawa pesakit HIV dan batuk kering di Myanmar terancam setelah diarah junta untuk menghentikan tugas di bandar selatan itu.

Doktor Tanpa Sempadan yang turut dikenali di Perancis sebagai MSF menerima sepucuk surat daripada pihak berkuasa serantau “meminta kami untuk menghentikan semua kegiatan” di tenggara Dawei, pusat rawatan HIV sejak lebih dua dekad lalu.

“Menghentikan aktiviti MSF akan mengancam nyawa ramai pesakit ketika perkhidmatan awam sedia ada amat menyedihkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.

Hampir semua hospital awam ditutup Februari lalu berikutan rampasan kuasa di negara itu. Ramai doktor melancarkan mogok sivil besar-besaran, menyebabkan sistem penjagaan kesihatan lumpuh.

Tambah MSF, pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa untuk “mempertimbangkan kembali” keputusan tersebut, yang menurutnya akan menjejaskan 2,162 orang penghidap HIV yang menerima rawatan antiretroviral di kota ini.

Badan amal itu turut mengingatkan kerajaan tentang risiko penularan penyakit termasuk batuk kering, kerana mereka hadir untuk mengisi jurang rawatan program TB yang terjejas sejak Februari lalu.

MSF telah meminta pihak berkuasa di Dawei – kampung halaman pemimpin junta Min Aung Hlaing untuk menarik balik keputusan itu, tambahnya.

Myanmar berdepan kekacauan menyebabkan ekonominya lumpuh sejak tentera menggulingkan kerajaan sivil Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa 1 Feb lalu.

Lebih 800 orang terbunuh di seluruh negara sejak Februari lalu, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan.

Palang Merah berkata Selasa lalu, pihaknya segera meningkatkan keupayaan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan 236,000 penduduk di Myanmar, yang sudah mulai bangkit dari pandemik Covid-19 sebelum kudeta melanda.

Pengumuman itu dibuat setelah presiden badan amal itu Peter Maurer dibenar bertemu dengan Min Aung Hlaing minggu lalu sekali gus meminta akses kemanusiaan dipertingkatkan ke negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.