2 pemimpin tunjuk perasaan Thailand bebas dengan ikat jamin

2 pemimpin tunjuk perasaan Thailand bebas dengan ikat jamin

Mahkamah Jenayah Bangkok membenarkan Arnon, 36, dan Panupong, 24, diikat jamin selepas beberapa minggu ditahan pra bicara dan didakwa kerana menghina monarki.

(Dari kiri) Panupong Jadnok, Parit Chiwarak, Panusaya Sithijirawattanakul dan Arnon Nampa di balai polis Chana SongKhram di Bangkok. (Gambar AP)
BANGKOK:
Peguam hak asasi manusia Thailand Arnon Nampa dan aktivis Panupong Jadnok yang berdepan beberapa tuduhan menghina monarki dalam tunjuk perasaan tahun lalu akhirnya dibenar diikat jamin semalam.

Mahkamah Jenayah Bangkok membenarkan Arnon, 36, dan Panupong, 24, diikat jamin selepas beberapa minggu ditahan pra bicara dan didakwa di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan juga dikenali sebagai lèse-majesté kerana menghina monarki. Mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Masing-masing dibenar diikat jamin 200,000 Baht dengan syarat tetap berada di Thailand dan perlu hadir ke mahkamah apabila dipanggil.

Arnon dan Panupong yang positif Covid-19 ketika dalam tahanan bulan lalu, dirawat di Hospital Universiti Thammasat. Kedua-duanya dijangka dibebaskan pada Rabu.

Arnon sudah ditahan melebihi 100 hari manakala Panupong lebih 80 hari.

Sementara itu, seorang lagi aktivis, Chukiat Saengwon juga dibenarkan diikat jamin.

Arnon adalah antara pemimpin utama di sebalik tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok untuk menuntut perubahan politik, termasuk Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berundur, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.

Bulan lalu, pemimpin tunjuk perasaan, Panusaya Sithijirawattanakul yang didakwa atas lèse-majesté selepas mengetuai bantahan di Universiti Thammasat dan di Sanam Luang tahun lalu turut dibenar diikat jamin.

Beliau disahkan positif Covid-19 beberapa hari selepas dibebaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.