
Selama hampir 40 tahun, China menguatkuasakan “dasar satu anak” yang kontroversial (peraturan perancang keluarga paling ketat di dunia), yang mula dilonggarkan pada 2016 kepada “dasar dua anak” kerana bimbang terhadap tenaga kerja yang semakin tua dan ekonomi yang tidak berkembang.
Biro Statistik Kebangsaan bulan lalu berkata, walau kerajaan berusaha mendorong pasangan untuk menambah anak, kelahiran tahunan China terus merosot ke paras terendah iaitu 12 juta pada tahun 2020.
Ia krisis demografi yang mengejutkan dan mengancam Parti Komunis yang dipimpin Presiden Xi Jinping. Menurut pakar ekonomi, menjelang 2050, mereka perlu menanggung ratusan juta orang tua.
“Untuk menangani masalah penuaan penduduk secara aktif, pasangan kini dibenar untuk mempunyai tiga anak,” kata Xinhua, yang memetik pertemuan jawatankuasa kepemimpinan elit Politburo China yang dihoskan Presiden Xi, hari ini.
Kadar kesuburan China berada pada tahap 1.3, di bawah tahap yang diperlukan untuk mengekalkan populasi yang stabil, kata Biro Perangkaan Kebangsaan.
Hasil bancian 2020, sekali dalam satu dekad yang diterbitkan bulan lalu juga menunjukkan bahawa populasi China meningkat pada kadar paling perlahan sejak tahun 1960-an, mencapai 1.41 bilion.
Keseimbangan jantina di China juga terkesan akibat dasar satu anak selama beberapa dekad, dan keutamaan sosial tradisional terhadap anak lelaki yang sekali gus mendorong kepada pengguguran berdasarkan pilihan jantina.
Walaupun dasar ini dilonggarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia tidak mendorong kepada peningkatan kelahiran seperti yang diharapkan oleh pembuat dasar.
Kejatuhan dalam kadar perkahwinan beberapa tahun kebelakangan ini antara punca kadar kelahiran menurun, begitu juga dengan kenaikan kos sara hidup selain wanita moden yang lebih selesa menunda atau mengelak kehamilan.