Angka korban taufan India kini 5 orang, ribuan hilang tempat tinggal

Angka korban taufan India kini 5 orang, ribuan hilang tempat tinggal

Taufan yang membadai semalam membawa bersama hujan lebat dan angin kencang mencecah 155km/j.

Angin kencang dan ombak membadai pantai Digha di pesisir Teluk Bengal semalam. (Gambar AP)
DIGHA:
Beribu-ribu orang hilang tempat tinggal hari ini setelah taufan terbaharu melanda negara India yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Puting beliung adalah fenomena lazim di utara Lautan Hindi namun saintis melihat bencana ini lebih kerap dan teruk berikutan perubahan iklim yang memanaskan suhu laut.

Hampir seminggu setelah Taufan Tauktae meragut sekurang-kurangnya 155 nyawa di barat India, Taufan Yaas memaksa lebih 1.5 juta penduduk di negeri-negeri timur Benggala Barat dan Odisha dipindahkan.

Ribut yang melanda pada Rabu itu membawa bersama hujan lebat dan angin sehingga 155km/j, setara dengan taufan kategori dua.

Gelombang sebesar bas dua tingkat membadai pantai dan membanjiri bandar dan kampung-kampung di sepanjang pesisir pantai, diburukkan lagi air pasang yang lebih tinggi dari biasa kerana bulan penuh.

Pegawai berkata, dua terbunuh di Benggala Barat, dua di Odisha dan seorang di Bangladesh.

Ketua menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee berkata lebih 300,000 rumah musnah.

“Ribuan orang masih terkandas. Kami telah menubuhkan 14,000 pusat taufan untuk memberi perlindungan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal,” kata Benerjee.

Kawasan rendah di ibu kota Kolkata turut ditenggelami air selepas sungai Hooghly melimpah.

Menteri Hal Ehwal Pengurusan Bencana Bengal Barat, Javed Ahmed Khan memberitahu AFP usaha menyelamat dirumitkan lagi oleh penduduk kampung yang enggan meninggalkan kediaman mereka kerana bimbang jangkitan koronavirus.

Di Odisha, beratus-ratus pokok tumbang, termasuk tiang elektrik, kata pegawai bantuan Pradeep Kumar Jena.

Beberapa rumah jerami turut rosak dilanda ribut, tetapi jaringan telekomunikasi tidak terjejas, tambahnya.

Yaas kini dikesan bergerak ke pedalaman menuju ke negeri Jharkhand, semakin reda namun tetap membawa hujan lebat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.