Penggodam hospital New Zealand dedah maklumat pesakit kepada media

Penggodam hospital New Zealand dedah maklumat pesakit kepada media

Kerajaan enggan membayar wang tebusan kepada penjenayah siber.

Penjenayah siber turut menyerang pasaran saham dan sistem data bank pusat New Zealand. (Gambar fail)
WELLINGTON:
Penggodam yang mensasarkan hospital di daerah Waikato, New Zealand telah mendedahkan maklumat peribadi pesakit kepada media, ketika sistem kesihatan tersebut bergelut untuk kembali pulih, seminggu selepas diserang.

Sebuah kumpulan yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan siber membabitkan Lembaga Kesihatan Daerah Waikato minggu lalu mendedahkan sejumlah rekod dan dokumen rasmi mengandungi nama, nombor telefon, dan alamat pesakit serta kakitangan, lapor Radio New Zealand dan media tempatan.

Pihak media memutuskan untuk tidak melaporkan perincian yang diterima dan merujuk emel tersebut kepada polis.

Gangguan sistem kesihatan di Waikato berterusan, sekali gus mengganggu rawatan pesakit dan proses pembayaran gaji kakitangan.

Hospital itu kini terpaksa menggunakan proses manual untuk menampung keperluan pesakit sementara orang ramai diminta mencari alternatif rawatan lain untuk keadaan yang tidak kritikal.

Pihak berkuasa tidak akan mengulas sama ada penjenayah siber itu ada mengemukakan tuntutan.

“Kami sedar bahawa penggodam dapat melihat apa yang diperkatakan di media, dan ia secara tidak langsung mempengaruhi tingkah laku mereka. Atas dasar itu, kami tidak dapat memberikan komen lebih lanjut mengenai hal ini,” kata Ketua Eksekutif Waikato DHB Kevin Snee dalam satu kenyataan.

Kerajaan enggan membayar wang tebusan kepada penggodam.

Waikato DHB menguruskan lebih daripada 425,000 penduduk.

Pencerobohan itu berlaku selepas pengendali perkhidmatan kesihatan Ireland diserang ransomware yang dilakukan penjenayah siber antarabangsa.

Namun tidak dapat disahkan sama ada serangan di New Zealand dilakukan oleh kumpulan yang sama.

Biro Penyiasatan Persekutuan berkata minggu ini penjenayah siber yang menceroboh sistem kesihatan Ireland menggunakan perisian jahat yang dikenali sebagai “Conti”, telah menyasarkan sekurang-kurangnya 16 rangkaian perubatan AS tahun lalu.

Tahun lalu, pasaran saham New Zealand dan sistem data bank pusat diceroboh dalam serangan ke atas perkhidmatan perkongsian fail yang disediakan oleh Accellion yang berpusat di California.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.