Genjatan senjata sempena Aidilfitri tamat, pertempuran diteruskan di Afghanistan

Genjatan senjata sempena Aidilfitri tamat, pertempuran diteruskan di Afghanistan

Menurut pegawai tempatan, pertempuran bermula awal hari ini, dan sehingga kini, masih berlangsung.

Anggota keselamatan tiba di lokasi serangan bom di pinggir Kabul, Afghanistan, pada Jumaat. (Gambar AP)
KANDAHAR:
Pertempuran antara Taliban dan kerajaan Afghanistan berlangsung semula hari ini di wilayah Helmand di bahagian selatan, setelah genjatan senjata tiga hari sempena Aidilfitri yang dipersetujui kedua-dua belah pihak tamat.

Krisis tercetus di pinggir Lashkar Gah, ibu negeri Helmand, yang telah menyaksikan pertempuran hebat semenjak Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya dari negara itu pada 1 Mei, menurut jurucakap tentera Afghanistan dan pegawai tempatan.

“Pertempuran bermula awal hari ini, dan masih berlangsung,” kata pegawai pihak berkuasa tempatan, Attaullah Afghan.

Beliau berkata, pejuang Taliban menyerang pos keselamatan di pinggir Lashkar Gah dan daerah lain.

Ini turut disahkan oleh jurucakap tentera Afghanistan di selatan.

Genjatan senjata tiga hari yang dicadangkan pihak Taliban dan dipersetujui serta merta oleh kerajaan Afghanistan dikuatkuasakan semasa sambutan Aidilfitri yang berakhir malam tadi.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 12 orang terkorban di sebuah masjid di pinggir Kabul dalam serangan bom yang diakui dilakukan oleh kumpulan ekstremis Islamic State (IS).

Sebelum genjatan senjata berkuat kuasa, keganasan tercetus di beberapa wilayah di Afghanistan, termasuk di Helmand dan Kandahar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.