
Sebelum ini, lazimnya jutaan penduduk akan mula bergerak pulang ke kampung menandakan bulan puasa bakal berakhir.
Pasukan polis dikerah ke seluruh ibu kota Jakarta hari ini bagi memeriksa dokumen dan mencegah mereka yang tidak mempunyai pas khas dari meninggalkan kota itu.
Larangan yang dijadual berkuatkuasa mulai 6 hingga 17 Mei itu termasuk perjalanan melalui udara, darat, laut, dan kereta api.
Setiap tahun, berjuta-juta penduduk di negara majoriti Muslim terbesar di dunia itu akan “mudik” atau pulang ke kampung untuk bersama keluarga menyambut Hari Raya.
Namun pegawai kesihatan kanan bimbang dengan kemunculan mutasi koronavirus baharu yang lebih merbahaya di seluruh Indonesia, termasuk dua kes varian B.1.617 minggu ini, yang pertama kali dikenal pasti di India akhir tahun lalu.
Indonesia pernah mencatat jumlah kes dan kematian koronavirus tertinggi di Asia Tenggara.
Walaupun berisiko, sejumlah penduduk masih cuba melanggar peraturan itu awal hari ini. Catatan polis di twitter berkata beberapa orang cuba meninggalkan ibu kota itu dengan bersembunyi di belakang lori sayur.
“Saya tetap akan cuba pulang kerana sudah menjadi tradisi walaupun kami sudah dua tahun tidak pulang,” kata Basuki Riyanto, 44 tahun, yang masih memikirkan bagaimana untuk pulang ke Jawa Tengah.
“Kalau ada sekatan, saya akan teruskan juga walau apapun syaratnya.”
Indonesia telah melaporkan sejumlah 1,691,658 kes koronavirus dan 46,349 kematian Covid-19.
Awal minggu ini, menteri kesihatan negara itu berkata dua kes pertama varian India telah dikenal pasti di Jakarta. Sebanyak 13 kes varian B.117 yang pertama kali dikesan di UK sebelum ini ditemui di negara ini.
Risiko lonjakan jangkitan Covid-19 akan menjejaskan prospek ekonomi Indonesia tahun ini. Penggunaan isi rumah, komponen terbesar dalam produk domestik kasar negara, menyusut pada suku pertama 2021.
Mengikut data rasmi, ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu jatuh 0.74% tahun ke tahun dalam tempoh Januari-Mac, menyusut untuk suku keempat berturut-turut.