
Trafik kembali sibuk di beberapa jalan raya di ibu negara itu, meskipun pihak berkuasa terus mengetatkan kawalan di beberapa daerah yang melaporkan peningkatan kes.
Negara Asia Tenggara itu mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 antara yang terendah di dunia, bagaimanapun jangkitan kini melonjak daripada kira-kira 500 kes pada akhir Februari kepada 17,621 kes ketika ini dengan 114 kematian.
Pihak berkuasa hari ini merekodkan 650 kes baharu dengan empat kematian.
Ketika pakar kesihatan memberi amaran mengenai tindakan membatalkan sekatan terlalu awal, perintah berkurung yang dilaksanakan mencetuskan kemarahan penduduk yang mendakwa pengagihan bantuan makanan tidak mencukupi.
Pihak berkuasa mengalihkan penghadang jalan malam semalam di zon “kuning” yang ditetapkan sebagai selamat untuk pergerakan, manakala zon “jingga” dan “merah” dengan kadar jangkitan tinggi masih kekal dalam perintah berkurung sehingga 12 Mei.
“Saya memohon supaya orang ramai tidak leka, kerana dalam konteks Covid-19 ini, kita kini hidup dalam norma baharu,” kata timbalan gabenor Phnom Penh pada sidang media.
Aktiviti ekonomi dan trafik berjalan lebih lancar di zon kuning, tetapi ia masih bawah perintah berkurung dari 8 malam hingga 3 pagi, kata beliau.
Dengan pembukaan Phnom Penh, pihak berkuasa turut memperkenalkan beberapa langkah baharu, antaranya menghadkan hanya 50% tenaga kerja di kilang-kilang dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang sudah menerima vaksin.
Langkah lain termasuk memperbanyakkan ujian Covid-19, meningkatkan kadar vaksinasi di beberapa kawasan di Phnom Penh yang mencatatkan kadar jangkitan tinggi, serta melarang penjualan minuman beralkohol.
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Kemboja, Li Ailan Ahad lalu memberi amaran mengenai tindakan negara itu yang dilihat terlalu awal melonggarkan sekatan.
“Melonggarkan langkah (pencegahan) #Covid-19 terlalu awal akan memungkinkan lagi lonjakan kes,” katanya di Twitter.