
Berikutan sambutan Hari Ibu pada hujung minggu ini juga, kerajaan negeri New South Wales mengehadkan perjumpaan isi rumah kepada 20 orang tetamu dan pengunjung rumah penjagaan warga emas kepada dua orang setiap kediaman.
Pelitup muka diwajibkan dalam pengangkutan awam dan di tempat tertutup. Semua larangan yang membabitkan kira-kira 5.3 juta penduduk di kawasan metropolitan terbesar di negara ini, berkuat kuasa pada jam 5 petang waktu tempatan dan dijadualkan berlangsung hingga pagi Isnin.
“Kami percaya ia adalah tindak balas yang setara dengan risiko yang perlu kami hadapi,” kata Perdana Menteri NSW Gladys Berejiklian kepada wartawan.
Langkah yang turut terpakai di daerah kejiranan Sydney, Wollongong, dilaksanakan berikutan kes covid-19 yang dikesan menjangkiti seorang lelaki berusia 50 tahun, yang menyebarkan jangkitan itu kepada isterinya.
Kes tempatan pertama di NSW dalam tempoh lebih sebulan itu, cukup membingungkan pegawai kesihatan kerana lelaki tersebut tidak punya kaitan dengan pekerjaan atau orang berisiko tinggi.
Ujian menunjukkan lelaki itu dijangkiti varian yang pertama kali dikesan di India dan penjujukan genomik telah menghubungkan kes itu dengan seorang pengembara yang kembali dari AS, kata Ketua Pegawai Kesihatan NSW Kerry Chant semalam. Tetapi jangkitan antara kedua lelaki tersebut tidak jelas.
“Kami langsung tak dapat mencari kaitan antara kes kami, jadi apa yang kami bimbangkan adalah ada orang lain yang belum dikesan telah menjangkiti kes kami,” kata Chant.
Ia adalah varian virus India yang pertama dilaporkan di Australia.
Larangan India
Kerajaan persekutuan kini sekarang ditekan untuk membatalkan larangan perjalanan sementara bagi pelancong, termasuk warganya sendiri, dari India yang sedang dilanda Covid. Australia telah menyekat semua penerbangan terus dari negara itu sehingga 15 Mei.
Sydney Morning Herald yang memetik sumber yang tidak dikenali, berkata sekurang-kurangnya dua penerbangan akan dihantar ke India setiap minggu mulai pertengahan bulan ini untuk membawa pulang sekitar 9,000 warga Australia.
Perdana Menteri Scott Morrison, bagaimanapun, berkata keadaan itu akan terus dikaji.
“Kami tidak akan memberi sebarang komitmen buat masa ini,” kata Morrison kepada stesen radio 3AW pada Khamis.