Di India, 8 singa turut menjadi pesakit terbaharu Covid-19

Di India, 8 singa turut menjadi pesakit terbaharu Covid-19

Pegawai Kesihatan India berkata, setakat ini tiada bukti virus daripada haiwan itu boleh menjangkiti manusia.

Lapan singa di sebuah zoo di Hyderabad didapati dijangkiti Covid-19 selepas mengalami sesak nafas.
NEW DELHII:
Lapan singa di sebuah taman haiwan India dijangkiti Covid-19, ketika wabak itu semakin meruncing dalam kalangan rakyatnya, sekali gus memaksa negara itu mendapatkan bantuan antarabangsa.

Singa itu didapati dijangkiti Covid-19 di zoo Hyderabad selepas mengalami sesak nafas.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim India berkata, setakat ini tiada bukti virus daripada haiwan itu boleh menjangkiti manusia.

Apa pun, berita singa dijangkiti Covid-19 tetap mengejutkan, lebih-lebih lagi ketika kerajaan India bergelut untuk membendung wabak Covid-19 dalam kalangan penduduknya.

India melaporkan lebih 300,000 kes baharu Covid-19 setiap hari sejak dua minggu lalu, dengan jumlah kes keseluruhan mencecah 20 juta, sekali gus melumpuhkan sistem kesihatan negara itu.

Angka rasmi kematian setakat ini adalah 226,000 orang.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) merayu kepada masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, untuk bantuan dana bagi membantu mangsa Covid-19 India.

Bantuan itu adalah untuk membiayai pembelian alat bantuan oksigen, alatan ujian pengesanan jangkitan, dan peralatan lain yang diperlukan hospital negara itu.

Dalam pada itu, Taman Zoologi Nehru yang menempatkan lapan singa yang dijangkiti Covid-19 itu, ditutup kepada orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.