
Jurucakap kumpulan pemberontak di negeri bersempadan dengan China itu berkata, insiden berlaku semasa tentera Myanmar (Tatmadaw) melancarkan serangan udara.
“Beberapa hari lalu, Tatmadaw melancarkan serangan udara, tetapi hari ini serangan membabitkan tiga jet pejuang dan helikopter. Kami menembak jatuh helikopter sekitar 10 pagi hari ini,” kata seorang pegawai maklumat kumpulan pemberontak Kol Naw Naw Bu yang dipetik agensi berita Anadolu.
Beliau enggan mendedahkan jenis senjata yang digunakan untuk menembak jatuh helikopter tentera itu.
Pegawai itu mendakwa serangan udara itu menyasarkan bukit Alaw Bun di bandar Moemauk, dekat sempadan Myanmar-China di Kachin yang dianggap penting oleh kedua-dua pihak untuk menguatkan kedudukan mereka di wilayah berhampiran.
“Helikopter itu terkena peluru berpandu FN-6 yang dilancarkan pejuang Kachin. Ia terbakar di udara dan terhempas berdekatan sebuah kampung,” kata seorang pelajar perubatan dari Yangon ketika dihubungi Anadolu pada Isnin.
Pelajar perubatan itu berada di Kachin untuk menjalani latihan tempur dan kebetulan menyaksikan kejadian itu.
Tentera Myanmar belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kejadian itu.