Myanmar dakwa wartawan Jepun kerana sebar ‘berita palsu’

Myanmar dakwa wartawan Jepun kerana sebar ‘berita palsu’

Yuki Kitazumi antara 50 wartawan yang kini ditahan di Myanmar sebagai sebahagian daripada tindakan keras junta susulan tunjuk perasaan akibat rampasan kuasa.

Wartawan warga Jepun Yuki Kitazumi diiringi polis di balai polis Myaynigone di Yangon pada 26 Feb. (Gambar AP)
YANGON:
Junta Myanmar mendakwa seorang wartawan warga Jepun mengikut undang-undang “berita palsu”, menurut laporan pada Selasa.

Ini dianggap tamparan terbaru terhadap kebebasan akhbar di negara itu sejak rampasan kuasa.

Wartawan bebas Yuki Kitazumi ditahan bulan lalu dan didakwa pada Isnin, ketika sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, atas tuduhan menyebar berita palsu, menurut laporan agensi berita Kyodo.

Kitazumi antara 50 wartawan yang kini ditahan di Myanmar sebagai sebahagian daripada tindakan keras junta susulan tunjuk perasaan meluas terhadap rampasan kuasa yang berlaku pada 1 Feb.

Negara itu sedang bergolak sejak kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan, dengan lebih 750 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan bergelut menghentikan demonstrasi menentang pemerintahan tentera yang berlaku hampir setiap hari.

Seorang pegawai rasmi kedutaan Jepun, yang enggan dinamakan, dipetik sebagai berkata, Kitazumi tiada masalah kesihatan walaupun beberapa minggu ditahan di penjara Insein Yangon, yang mempunyai reputasi sebagai penempatan tahanan politik.

Kitazumi berada dalam tahanan sejak 18 April, penahanan kali keduanya sejak rampasan kuasa.

Februari lalu, dia dipukul dan ditahan sementara ketika tindakan dikenakan terhadap penunjuk perasaan, tetapi kemudian dibebaskan.

Jepun, yang sejak beberapa tahun lalu adalah penyumbang bantuan utama ke Myanmar, menuntut pembebasannya.

“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk pembebasan awal warga kami yang ditahan,” kata Menteri Luar Toshimitsu Motegi kepada wartawan Jepun ketika lawatannya ke Britain, menurut stesen televisyen rasmi NHK.

Seramai 766 orang awam terbunuh dalam kekerasan dilakukan tentera terhadap tunjuk perasaan, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), sebuah kumpulan pemantau tempatan.

Selain menangkap wartawan, tentera juga berusaha untuk menangkis berita berkaitan krisis tersebut dengan menutup pusat media bebas serta menyekat kelajuan Internet.

Menurut AAPP, terdapat 50 wartawan yang ditahan pada masa ini dengan 25 daripadanya telah didakwa di mahkamah, sementara waran tangkap pula dikeluarkan untuk 29 yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.