20 maut, puluhan cedera, jambatan kereta api runtuh di Mexico

20 maut, puluhan cedera, jambatan kereta api runtuh di Mexico

Usaha menyelamatkan mangsa terpaksa ditangguhkan susulan risiko lebih banyak gerabak di atas jambatan itu jatuh ke atas jalan di bawahnya.

Bomba dan anggota penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa dari gerabak kereta api di Mexico City. (AP pic)
MEXICO CITY:
Dua puluh orang termasuk kanak-kanak terbunuh, dan 49 yang lain dimasukkan ke hospital apabila jambatan kereta api runtuh ke atas jalan raya yang sibuk di Mexico City pada lewat Isnin.

Usaha menyelamatkan mangsa terpaksa ditangguhkan sejurus selepas dimulakan, susulan risiko lebih banyak gerabak di atas jambatan itu turut jatuh ke atas jalan berkenaan.

Video disiarkan rangkaian televisyen tempatan Milenio TV menunjukkan struktur itu runtuh ke atas kereta yang lalu di bawahnya berhampiran stesen Olivos di tenggara bandar itu sekitar jam 10.30 malam (waktu tempatan).

Gambar yang disebarkan menunjukkan puing dan habuk memenuhi kawasan itu, selain sekurang-kurangnya dua gerabak kereta api ‘tergantung’ dari jambatan berkenaan.

Anggota bomba dan perubatan pada mulanya menggunakan tangga untuk sampai ke gerabak berkenaan.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Mexico City Claudia Sheinbaum berkata usaha menyelamat terpaksa dihentikan buat sementara kerana keadaan kereta api yang tidak stabil.

Menurutnya, kren dibawa ke tempat kejadian untuk menstabilkan gerabak kereta api terbabit seterusnya membolehkan usaha menyelamat diteruskan.

Sheinbaum berkata tujuh daripada mangsa yang dibawa ke hospital ‘dalam keadaan teruk’ dan kini menjalani pembedahan.

Beliau sebelum itu berkata kira-kira 70 orang cedera dalam kejadian berkenaan.

Sheinbaum berkata, kejadian masih disiasat namun setakat ini dipercayai ada galang yang tergelincir di jambatan berkenaan.

Laluan kereta api itu dibina hampir sedekad lalu ketika Menteri Luar Marcelo Ebrard menjadi datuk bandar bandar berkenaan.

“Apa yang berlaku hari ini adalah tragedi yang amat teruk. Doa saya bersama mangsa dan keluarga mereka,” kata Ebrard di Twitter.

“Sudah pasti punca kejadian mesti disiasat dan tindakan diambil terhadap pihak bertanggungjawab.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.