Umat Islam berbuka puasa di gereja Barcelona

Umat Islam berbuka puasa di gereja Barcelona

Setiap malam, antara 50 hingga 60 umat Islam, kebanyakannya gelandangan, memasuki Gereja Santa Anna, untuk menikmati masakan dihidangkan sukarelawan.

Gereja Santa Anna di Barcelona yang sering menghulurkan bantuan dan menyediakan makanan kepada gelandangan. (Gambar Facebook jeuazarru)
BARCELONA:
Sebuah gereja Katolik di Barcelona membuka pintunya kepada umat Islam untuk berbuka puasa dan menunaikan sembahyang, ketika sekatan Covid-19 menghalang masyarakat Islam meraikan Ramadan di tempat tertutup biasa.

Setiap malam, antara 50 hingga 60 umat Islam, kebanyakannya gelandangan, memasuki Gereja Santa Anna, untuk menikmati masakan yang dihidangkan sukarelawan.

“Kita semua sama…Jika anda Katolik atau agama lain dan saya orang Islam, itu tidak mengapa,” kata Hafid Oubrahim, pemuda berusia 27 tahun berketurunan Berber Maghribi yang menyertai makan malam itu.

“Kita semua seperti saudara dan kita perlu membantu satu sama lain.”

Faouzia Chati, presiden Persatuan Wanita Maghribi Catalan, biasanya menganjurkan majlis berbuka puasa di bandar itu, tetapi SOP di ruang makan tertutup memaksa beliau mencari lokasi alternatif dengan pengudaraan baik dan ruang untuk penjarakan fizikal.

Beliau kemudiannya menemui Peio Sanchez, paderi di Gereja Santa Anna, yang menganggap pertemuan agama berbeza sebagai lambang kehidupan bersama dalam suasana harmoni.

“Orang lain sangat gembira umat Islam dapat berbuka puasa di gereja Katolik kerana agama menyatukan kami, bukannya memecah belahkan kami.”

Sanchez berkata: “Walaupun dengan budaya, bahasa dan agama berbeza, kita boleh duduk bersama dan berbual berbanding sesetengah ahli politik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.