
Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 1,940 kes baharu Covid-19, termasuk 10 kes import, menjadikan keseluruhan jangkitan meningkatkan kepada 68,984 kes.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Dr Apisamai Srirangsan berkata, kes kematian baharu itu melibatkan 12 lelaki dan sembilan wanita berusia 38 hingga 88 tahun, iaitu lapan di Bangkok, empat di Chiang Mai, masing-masing dua di Chonburi dan Lamphun, serta masing-masing satu di Nakhon Pathom, Nakhon Sawan, Rayong, Tak dan Udon Thani.
Beliau berkata, Bangkok mendahului senarai jangkitan tertinggi dengan 539 kes, diikuti Nonthaburi (276) dan Samut Prakan (145).
Katanya, varian UK B.117 yang mudah merebak menyebabkan sejumlah 40,121 kes direkodkan di negara itu dengan 151 kematian sejak 1 April lepas.
Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakun berkata, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan meningkatkan pengesanan kes aktif di bawah bidang kuasanya dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.
“BMA akan melaksanakan pengesanan kes aktif di lima daerah mulai esok. Dengan pengesanan awal, kami berharap dapat mencegah penularan Covid-19 dan mengasingkan kontak rapat untuk memutuskan rantaian penularan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.
Mengenai vaksinasi, beliau berkata, Thailand memberi vaksin kepada hampir 1.5 juta rakyatnya setakat ini, kebanyakannya kakitangan perubatan barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi yang disuntik vaksin Sinovac serta AstraZeneca.
Kementerian Kesihatan Awam pula memaklumkan lebih 430,000 orang mendaftar untuk vaksinasi Covid-19 yang bermula pada Sabtu.
Vaksinasi itu ditetapkan pada Jun untuk rakyat Thailand yang berusia 60 tahun dan ke atas, dengan keutamaan buat individu menghidap penyakit kronik.
Kementerian itu menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 16 juta orang di bawah fasa pertama pendaftaran.