
Rekod ini dicatat di kala negara itu menjalankan kempen vaksinasi besar-besaran kepada semua penduduk dewasa walaupun beberapa negeri melaporkan kekurangan stok vaksin.
Ini kali pertama kes harian India melepasi angka 400,000 selepas 10 hari berturut-turut mencatatkan kes melebihi 300,000.
Kematian disebabkan Covid-19 juga melonjak 3,523 dalam tempoh 24 jam, menjadikan keseluruhan angka kematian 211,853, menurut data rasmi.
Negara pengeluar vaksin Covid-19 terbesar itu juga menghadkan jumlah suntikan sedia ada, memburukkan lagi gelombang jangkitan kedua yang menyesakkan hospital dan bilik mayat, sementara keluarga berusaha mendapatkan ubat-ubatan dan bekalan oksigen.
Ratusan orang dilihat beratur panjang untuk menerima vaksin hari ini di Ahmedabad, bandar komersial utama di negeri asal Perdana Menteri Narendra Modi, Gujerat.
Ketua menteri negeri paling terjejas, Delhi, pada Jumaat menggesa orang ramai untuk tidak berbaris di pusat vaksinasi, dengan menjanjikan lebih banyak vaksin akan tiba “esok atau lusa”.
Pihak berkuasa di Odisha, negeri di bahagian timur India, berkata 150,000 vaksin diterima semalam, tetapi hanya segelintir individu dibenarkan mendapat suntikan ekoran sekatan pergerakan.
Beberapa pakar menyalahkan perhimpunan keagamaan dan demonstrasi politik sebagai punca gelombang kedua semakin memburuk di India, mengakibatkan kerajaan tidak bersedia menghadapinya.
Forum penasihat saintifik yang ditubuhkan pentadbiran Modi turut memberi amaran kepada kerajaan awal Mac lalu mengenai varian baharu Covid-19 yang lebih mudah menular di negara ini, kata lima saintis yang menganggotai forum itu kepada Reuters.
Walaupun terdapat amaran, empat saintis berkata, kerajaan persekutuan tidak berusaha untuk mengenakan sekatan besar-besaran bagi membendung penularan virus.
Berjuta-juta orang, yang sebahagian besarnya tidak memakai pelitup muka, menghadiri perhimpunan keagamaan dan himpunan pilihan raya diadakan Modi, pemimpin Parti Bharatiya Janata yang memegang tampuk kuasa, dan ahli politik pembangkang.
Jumlah kes Covid-19 di India telah melebihi 19 juta. Dengan gelombang kedua wabak kini semakin memburuk, kes Covid-19 di India bertambah kira-kira 7.7 juta kes sejak akhir Februari, menurut laporan Reuters.