Ribuan penduduk Myanmar lari ke Thailand

Ribuan penduduk Myanmar lari ke Thailand

Pihak berkuasa berkata hampir 200 orang berjaya menyeberang sempadan minggu ini.

Seorang penduduk kampung Karen Myanmar yang cedera tiba di Thailand sambil diusung bulan lalu. (Gambar AP)
MAE SARIANG:
Ribuan penduduk etnik Karen di Myanmar bersedia menyeberang ke Thailand jika pertempuran antara tentera Myanmar dan pemberontak Karen memuncak.

Sejak insiden rampasan kuasa (kudeta) pada 1 Feb lalu, ramai penduduk Myanmar cuba melarikan diri dari pergolakan itu.

Pemberontak Karen dan tentera Myanmar bertempur di sempadan Thailand sejak beberapa minggu lalu selepas pemimpin tentera Myanmar menggulingkan kerajaan dipilih diketuai pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi, memaksa penduduk kampung di kedua-dua sempadan meninggalkan kediaman mereka.

“Katanya orang Burma akan datang dan menembak kami, jadi kami lari ke sini,” kata Chu Wah, seorang penduduk kampung Karen yang menyeberang ke Thailand bersama keluarganya minggu ini dari kem pemindahan Ee Thu Hta di Myanmar, kepada Reuters.

“Saya mesti lari menyeberang sungai,” kata Chu Wah, merujuk kepada Sungai Salween yang membentuk sempadan di daerah itu.

Rangkaian Sokongan Perdamaian Karen berkata ribuan penduduk kampung berlindung di Salween di bahagian Myanmar dan akan melarikan diri ke Thailand jika pertempuran semakin buruk.

“Dalam beberapa hari akan datang, lebih 8,000 etnik Karen di sepanjang Sungai Salween perlu melarikan diri ke Thailand. Kami berharap tentera Thailand dapat membantu mereka melarikan diri dari perang,” kata kumpulan itu dalam catatan di Facebook.

Pada Selasa lalu, pejuang Karen menyerbu sebuah unit tentera Myanmar di tebing barat Salween dalam satu serangan menjelang subuh.

Karen berkata 13 tentera dan tiga pejuang mereka terbunuh.

Tentera Myanmar membalas dengan serangan udara di beberapa kawasan berhampiran sempadan Thailand.

Pihak berkuasa Thailand berkata hampir 200 penduduk kampung telah menyeberang ke Thailand minggu ini.

Thailand telah memperkukuhkan kekuatannya dan menyekat akses ke sempadan.

Ratusan penduduk kampung Thailand juga kehilangan tempat tinggal, pindah dari rumah mereka yang hampir dengan sempadan, ke wilayah pedalaman Thailand untuk keselamatan.

“Pergolakan semakin buruk, jadi kami tidak dapat pulang,” kata Warong Tisakul, 33, seorang warga Thailand dari Mae Sam Laep, sebuah penempatan, yang kini ditinggalkan, terletak berhadapan pos tentera Myanmar yang diserang minggu ini.

“Pegawai keselamatan tidak akan membenarkan, kami tidak boleh pulang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.