Lebih 40 dikhuatiri mati dalam insiden rempuhan di Israel

Lebih 40 dikhuatiri mati dalam insiden rempuhan di Israel

Seramai 103 orang termasuk kanak-kanak turut cedera ketika menyertai upacara Lag B’Omer di utara Gunung Meron.

Petugas perubatan dan penyelamat dilihat membantu mangsa rempuhan upacara Lag B’Omer di Gunung Meron, utara Israel. (Gambar AP)
JERUSALEM:
Angka korban insiden rempuhan di festival keagamaan di Israel hari ini meningkat sekurang-kurangnya 44 orang, kata petugas perubatan, dalam kejadian yang disifatkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebagai “bencana besar”.

Rempuhan berlaku ketika puluhan ribu penganut Yahudi ultra-Ortodoks berkumpul di pusara paderi abad ke-2, Galilea bagi memperingati Lag B’Omer dengan upacara doa, lagu mistik dan tarian.

Saksi berkata ramai mengalami sesak nafas atau dipijak di lorong sempit yang sesak. Malah ada yang tidak sedar apa yang berlaku sehinggalah pihak berkuasa meminta mereka bersurai.

Perhimpunan di lereng Gunung Meron itu difahamkan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Helikopter dilihat membawa mereka yang cedera ke hospital dan tentera pantas mengerahkan operasi mencari dan menyelamat.

Pakar perubatan berkata 103 orang cedera dalam insiden rempuhan itu. Menurut saksi, kanak-kanak turut menjadi korban. Lokasi kejadian ini diasingkan mengikut jantina dan melalui rakaman video penonton, rempuhan dipercayai bermula di bahagian lelaki.

“Kami hendak masuk ke dalam untuk menari dan berdoa, tiba-tiba kami lihat paramedik dari (perkhidmatan ambulans), sedang memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang kanak-kanak,” kata Shlomo Katz, 36, kepada Reuters. Dia kemudian melihat beberapa ambulans meninggalkan lokasi kejadian.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan suasana kelam kabut ketika beberapa lelaki cuba melalui celah kepingan dinding yang terkopak untuk menyelamatkan diri. Koridor pula dipenuhi mayat yang diletak di atas pengusung.

Jurucakap polis berkata kapasiti keseluruhan di Gunung Meron adalah sama dengan tahun sebelumnya tetapi kali ini kawasan unggun api itu dipasang penghadang sebagai langkah pencegahan Covid-19. Itu mungkin menjadi punca ia sesak dengan pejalan kaki, kata media Israel.

Festival unggun api di Gunung Meron dilarang tahun lalu berikutan sekatan koronavirus. Namun perintah sekatan dilonggarkan tahun ini berikutan program vaksinasi Covid-19 Israel yang pantas menyaksikan lebih 54% penduduknya sudah diberi vaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.