
Ia memaksa Senat menyiasat adakah kerajaan Presiden Jair Bolsonaro telah memburukkan lagi krisis itu.
Kementerian kesihatan melaporkan 3,001 kematian Covid-19 sepanjang 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan Brazil 401,186, kedua selepas AS.
Negara dengan 212 juta penduduk, di Amerika Selatan itu turut mencatat angka kematian tertinggi akibat wabak itu, dengan 189 kematian dalam setiap 100,000 penduduk, terburuk di Amerika dan satu daripada 15 teratas di seluruh dunia.
Brazil berdepan lonjakan kes sejak awal tahun menyebabkan banyak hospital di banyak wilayah kini diambang kehancuran.
Walaupun ia seolah telah melepasi kemuncak gelombang baru, jumlah kematian harian tetap tinggi, dengan purata 2,526 sepanjang minggu lalu, di belakang India.
Pakar menyalahkan lonjakan terbaharu itu sebahagiannya dari virus “varian Brazil”, mutasi yang muncul di sekitar kota hutan hujan Amazon, Manaus pada bulan Disember.
Dikenal sebagai P1, virus ini dapat menjangkiti semula mereka yang mengalami strain virus asal, dan mungkin lebih mudah menular.
“P1 memberi kesan yang sangat besar. Tiada tindakan diambil untuk membendung varian itu ketika ia melonjak pada Januari di Manaus. Ia hanya menunggu masa untuk merebak ke seluruh Brazil,” kata ahli epidemiologi Universiti Persekutuan Espirito Santo, Ethel Maciel.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, P1 kini berada di 54 negara, menyifatkannya sebagai “varian yang membimbangkan”, selain strain British dan Afrika Selatan.
Sementara itu negara ini turut berdepan kekurangan vaksin.
Kira-kira 28 juta penduduk di Brazil telah menerima dos vaksin Covid-19 pertama, manakala 12.7 juta telah menerima dos kedua.
Tetapi 14 daripada 27 bandar di Brazil terpaksa menangguhkan dos kedua kerana berdepan kekurangan, menurut TV Globo.
Susulan perkembangan itu, Brazil menghela nafas lega kerana sejuta dos pertama vaksin Pfizer tiba petang semalam, tambahan kepada dua lagi pilihan vaksin di Brazil, iaitu AstraZeneca dan CoronaVac yang dibangunkan China.
Selasa lalu, Senat membuka siasatan berhubung dakwaan wujud pengabaian jenayah dalam usaha menangani pandemik oleh kerajaan Bolsonaro.