Janji jaga kebajikan mangsa keluarga krew KRI Nanggala-402

Janji jaga kebajikan mangsa keluarga krew KRI Nanggala-402

Presiden Joko Widodo berkata pihak berkuasa akan membina rumah baharu untuk keluarga krew nahas kapal salam.

Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum ini turut menjanjikan menaikkan pangkat semua anggota yang terbunuh secara posthumus, selain membiayai pendidikan anak-anak mereka. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Presiden Indonesia Joko Widodo berkata pihak berkuasa akan membina rumah untuk anggota keluarga krew nahas kapal selam KRI Nanggala-402 yang meragut 53 nyawa, baru-baru ini.

KRI Nanggala-402 ditemui pada kedalaman hampir 840m pada Ahad selepas terputus hubungan beberapa hari sebelumnya ketika membuat persiapan latihan torpedo.

“Kami akan membina rumah untuk anda di tempat pilihan anda,” kata beliau yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi, ketika menemui anggota keluarga terbabit di hangar pangkalan tentera laut di Jawa Timur.

Jokowi minggu ini berkata, kerajaan akan menaikkan pangkat ketenteraan semua anggota terlibat secara posthumus, selain membiayai pendidikan anak-anak mereka.

Minggu ini, ahli keluarga mangsa berhimpun di sekitar Indonesia untuk memberi penghormatan terakhir kepada krew yang maut itu, selain menggesa pihak berkuasa menaikkan mayat mereka dari dasar laut.

Tentera Laut Indonesia sedang berusaha memikirkan cara menaikkan bangkai kapal selam itu.

Pakar bagaimanapun memberi amaran tugas itu pasti sukar kerana memerlukan peralatan khusus.

Jurucakap tentera laut, Julius Widjojono berkata semalam, pihak berkuasa sedang menyelaraskan dengan pengawal selia tenaga negeri untuk mengenal pasti sama ada terdapat syarikat yang memiliki jentera diperlukan.

Usaha mencari dan menyelamat antarabangsa meliputi pesawat serta kapal khas, termasuk dari negara jiran malah juga Australia dan Amerika Syarikat, bergegas menjejaki kapal selam itu sebelum kehabisan bekalan oksigen.

Bagaimanapun, pada Ahad, ketua tentera Indonesia Hadi Tjahjanto mengesahkan kapal selam itu telah tenggelam manakala semua anak kapalnya terbunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.