Delhi tempah khas hotel untuk rawatan Covid-19 bagi hakim

Delhi tempah khas hotel untuk rawatan Covid-19 bagi hakim

Ini mencetuskan kemarahan penduduk di bandar yang kini mengalami kekurangan sumber untuk merawat pesakit Covid-19.

Hospital di Delhi tidak lagi dapat menerima pesakit Covid-19 kerana mereka tidak mempunyai katil mahupun bekalan oksigen untuk menyelamatkan nyawa pesakit. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Pihak berkuasa di Delhi mengarahkan sebuah hotel mewah ditukar menjadi fasiliti rawatan Covid-19 bagi kegunaan eksklusif hakim mahkamah tinggi dan keluarga mereka.

Arahan ini mencetuskan kemarahan penduduk di bandar yang kehabisan katil hospital atau bekalan oksigen untuk menyelamatkan nyawa ratusan orang.

Dalam notis umum malam semalam, kerajaan tempatan berkata, ia menerima permintaan daripada Mahkamah Tinggi Delhi disebabkan peningkatan jangkitan yang mendadak, dan ia telah menyediakan 100 bilik di Hotel Ashoka bagi menempatkan pesakit dalam kalangan hakim peringkat tinggi.

Sebuah hospital terkemuka di bandar itu akan menguruskan fasiliti tersebut, katanya.

Jaiveer Shergill, seorang peguam dan jurucakap parti pembangkang utama, berkata keputusan tersebut seumpama tamparan hebat bagi hak kesetaraan yang termaktub dalam perlembagaan.

Mahkamah itu sendiri perlu menolak layanan istimewa sebegitu, tambah beliau.

“Demi keadilan, integriti dan keyakinan terhadap sistem kehakiman, Mahkamah Tinggi Delhi harus membatalkan arahan itu,” kata beliau.

Pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Delhi dan kerajaan negeri Delhi tidak memberi sebarang komen berkenaan isu ini.

Delhi, ibu negara India, adalah salah sebuah bandar yang paling terjejas dengan gelombang kedua wabak Covid-19 di negara itu.

Hospital tidak lagi dapat menerima pesakit kerana mereka tidak mempunyai katil mahupun bekalan oksigen untuk menyelamatkan nyawa pesakit, dan bandar itu melaporkan purata satu kematian setiap empat minit.

Para hakim tidak dianggap petugas barisan hadapan, dan kebanyakan mahkamah beroperasi secara maya.

“Mahkamah Tinggi Delhi sepatutnya menolak tawaran Hotel Ashoka tersebut, atau membatalkannya, jika ia sendiri yang membuat permintaan,” kata Aakar Patel, pengulas politik dan bekas ketua Amnesty International India.

“Diskriminasi secara terbuka tidak boleh diamalkan oleh mereka yang bertanggungjawab mencegahnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.