
Perth dan wilayah Peel ditutup sejak Sabtu lalu setelah seorang pengembara dari luar negara, yang berkemungkinan dijangkiti novel coronavirus semasa dikuarantin selama dua minggu di sebuah hotel di Perth, berkunjung ke beberapa lokasi tanpa menyedari dia dijangkiti.
“Penutupan singkat tiga hari itu berjaya melaksanakan tugas seperti yang dirancang,” kata Perdana Menteri, Mark McGowan kepada wartawan di Perth.
“Ia adalah ‘pemutus litar’ yang kita perlukan untuk membendung penyebaran dalam kalangan komuniti dan melindungi kesihatan mereka.”
Dua juta penduduk di Perth dan hampir 150,000 penduduk wilayah Peel diperintah untuk berada di rumah sehingga jam 12.01 pagi esok, kecuali untuk pekerjaan penting, penjagaan kesihatan, belanja runcit atau bersenam.
Orang ramai boleh meninggalkan kediaman mereka apabila tempoh sekatan berakhir tetapi perlu memakai pelitup muka setiap masa.
Perhimpunan di rumah akan dihadkan kepada 20 orang tetamu saja, sementara restoran dan pasar raya perlu mematuhi peraturan penjarakan sosial yang ketat.
Perintah sekatan sementara ini akan kekal sehingga malam Jumaat, kata McGowan dan akan dikaji semula.
Perintah sekatan sementara, sistem penjejakan yang pantas dan penutupan sempadan telah membantu Australia mengekalkan angka Covid-19 yang relatif rendah, dengan hanya lebih dari 29,600 kes dan 910 kematian.