
Jurucakap Pusat Pentadiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan kepada 53,022 sejak pandemik itu bermula tahun lalu dan dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand juga merekodkan lapan kematian baharu, juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam sehari menjadikan jumlah kematian kepada 129.
Daripada jumlah kes baharu itu, beliau berkata 2,827 adalah penularan tempatan dan 12 kes import.
Beliau berkata Bangkok mendahului senarai itu dengan jumlah kes tertinggi ialah 1,582 diikuti Chiang Mai (151), Chonburi (118), Nonthaburi (96) dan Samut Prakan (84).
Beliau berkata gelombang ketiga wabak itu telah mencatatkan 24,159 kes dan 35 kematian hanya dalam tempoh 24 hari.
“Sehingga kini seramai 22,327 orang dimasukkan ke hospital iaitu 17,924 dirawat di hospital dan 4,403 di hospital lapangan.
Terdapat 418 orang lagi berada dalam keadaan serius manakala 113 menggunakan ventilator,” katanya pada taklimat harian Covid-19.
Tambahnya, kematian baharu itu melibatkan enam lelaki dan dua wanita – semua warganegara Thailand berumur antara 48 dan 89 tahun yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik kecuali pesakit berumur 48 tahun itu yang mempunyai masalah obesiti.
Mengenai katil hospital, Taweesin memberi jaminan katil hospital mencukupi di negara itu untuk menangani lonjakan kes Covid-19
Beliau berkata terdapat sejumlah 40,524 katil di hospital dan hospital lapangan dengan 21,138 masih kosong.
Susulan peningkatan kes, beliau berkata Kementerian Kesihatan Awam sedang menambah lebih banyak katil hospital.
Lonjakan ketara jangkitan itu mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan katil hospital kerana Thailand menetapkan semua pesakit Covid-19 dimasukkan dan dirawat di hospital bagi mengurangkan penularan.
Media tempatan melaporkan Bangkok mempunyai 262 katil di unit rawatan rapi (ICU) dan hanya 69 katil tidak didiami. Jika jangkitan Covid-19 terus meningkat sebanyak 1,500 kes sehari, semua katil ICU di Bangkok akan penuh dalam tempoh enam hingga lapan hari.