Tiada sekatan pergerakan di Thailand walaupun kes Covid-19 meningkat

Tiada sekatan pergerakan di Thailand walaupun kes Covid-19 meningkat

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 1,582 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 39,038 dengan jumlah kematian kekal 97.

Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin menggesa orang ramai untuk menghadkan pergerakan mereka dan bekerja dari rumah. (Gambar AP)
BANGKOK:
Thailand tidak akan mengenakan sekatan pergerakan atau perintah berkurung seluruh negara meskipun jumlah kes baharu Covid-19 sekali lagi mencatat rekod tertinggi hari ini.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 1,582 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 39,038 dengan jumlah kematian kekal 97.

Bagi mengelakkan kes terus merebak, institusi pendidikan dan pusat hiburan akan ditutup selain penjualan alkohol di restoran dilarang sekurang-kurangnya dua minggu bermula Ahad.

Selain itu, sebarang aktiviti melebihi 50 orang juga dilarang.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) hari ini meluluskan langkah pencegahan terbaru.

Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kerajaan mengisytiharkan 18 wilayah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Chonburi, Songkhla, Rayong dan Khon Kaen sebagai zon merah manakala 59 wilayah lagi sebagai zon oren.

Di zon merah, semua pusat beli-belah dan pusat kecergasan wajib ditutup pada 9 malam dan kedai, pasar, pasaraya pada 11 malam.

“Restoran di zon merah hanya boleh dibuka hingga 9 malam manakala untuk perkhidmatan bawa pulang hingga 11 malam. Di 59 zon oren, restoran dibenar dibuka hingga 11 malam,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Thaweesilp menggesa orang ramai untuk menghadkan pergerakan mereka dan bekerja dari rumah.

Kes penularan terkini itu adalah yang terbesar sejak Januari tahun lalu. Thailand dilanda gelombang kedua pada pertengahan Disember tahun lalu bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.