
Presiden Gotabaya Rajapaksa menerusi warta kerajaan berkata, mana-mana individu yang dikaitkan dengan kumpulan itu – sembilan kumpulan lain terdiri daripada organisasi agama dan sosial – akan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Menjelang ulang tahun itu, penganut Katolik mengugut akan mengadakan protes jalanan terhadap kerajaan yang didakwa gagal mengambil tindakan terhadap individu bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Beberapa kumpulan yang diharamkan pada Rabu itu pernah dikaitkan kepada pengebom utama serangan berkenaan.
Rajapaksa berkata, langkah itu, yang diambil mengikut Akta Pencegahan Keganasan, sejajar “usaha berterusan kerajaan Sri Lanka untuk memastikan kedamaian terus dikecapi dalam negara”.
Tujuh warga Sri Lanka yang menyerang tiga gereja dan tiga hotel pada April 2019 berikrar taat setia kepada pemimpin IS ketika itu, Abu Bakr al-Baghdadi.
Bagaimanapun, penyiasat berkata, mereka tidak menemui sebarang bukti kaitan langsung dengan IS.
Dua kumpulan tempatan yang dikatakan mempunyai kaitan langsung dengan serangan itu diharamkan pada 2019, tetapi satu siasatan presiden ke atas pengeboman itu juga mahu kumpulan Islam sama diharamkan.
Semua tujuh pengebom itu mati dan tiada suspek yang didakwa sehingga kini.
Ketua gereja Roman Katolik di Sri Lanka, Malcolm Ranjith menuntut tindakan segera bukan saja terhadap mereka yang bertanggungjawab, tetapi juga ahli politik dan pegawai yang gagal menghalang mereka.
Siasatan itu mendapati India memberi amaran kepada Presiden ketika itu, Maithripala Sirisena dan ketua perisiknya mengenai serangan berkenaan 17 hari sebelum ia berlaku.
Amerika Syarikat memfailkan tuntutan terhadap tiga warga Sri Lanka berhubung pengeboman itu, memandangkan lima warganegara AS antara 45 warga asing terkorban dalam serangan itu.
Siasatan itu, yang laporannya dikeluarkan awal tahun ini, turut menyarankan organisasi Buddha yang didakwa menghasut pergolakan antara kaum sebelum dan selepas pengeboman itu diharamkan, tetapi tidak ada kumpulan itu yang disenaraikan dalam warta pada Rabu.