15 maut, bas mini langgar periuk api di Somalia

15 maut, bas mini langgar periuk api di Somalia

Kejadian dipercayai angkara kumpulan pengganas Al-Shabaab itu berlaku kira-kira 50km di utara Mogadishu.

(Gambar Twitter)
MOGADISHU:
Lima belas orang maut dan empat cedera apabila bas mini dinaiki melanggar periuk api di pinggir ibu negara Somalia, kata jurucakap kerajaan.

“Kejadian yang begitu dahsyat dan kejam…15 orang yang tidak berdosa terbunuh. Kejadian ini menunjukkan betapa pengganas tidak berhati perut,” kata jurucakap kerajaan Mohamed Ibrahim Moalimuu di Twitter, dengan menyalahkan Al-Shabaab bagi kejadian itu.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira 50km di utara Mogadishu.

Terdahulu, Andikarim Mohamed, pegawai kerajaan dari wilayah Hirshabelle berkata, 14 orang maut dan empat cedera “selepas bas mini yang melalui jalan antara Mogadishu dan Balcad melanggar periuk api.”

Komander tentera Somali Abshir Mohamed yang bertugas di kawasan itu turut menyalahkan Al-Shabaab yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda dan kerap melaksanakan serangan di negara itu.

“Pengganas menyasarkan semua orang tanpa memilih bulu. Mereka menanam periuk api yang membunuh orang awam yang tidak berdosa itu,” katanya kepada media kebangsaan.
Saksi Mohamud Adan memberitahu AFP beliau melihat mayat 10 orang dibawa dari lokasi letupan.

Al-Shabaab mengawal ibu negara itu sehingga 2011 apabila diusir tentera Kesatuan Afrika. Namun kumpulan itu masih berkuasa di sebahagian kawasan dan sering melancarkan serangan terhadap sasaran tentera, kerajaan serta awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.