
Kyaw Zwar Minn menemui Nigel Adams, menteri luar Britain untuk Asia pada Khamis, selepas junta enggan mengiktirafnya sebagai diplomat.
“Saya menghormati keberanian dan semangat patriotiknya. Kami akan menyokong beliau untuk memastikan keselamatannya di UK,” kata Adams dalam tweet di atas gambar mereka berdua kelihatan suram dalam pertemuan itu.
Britain mengutuk tindakan junta melarang diplomat itu memasuki kedutaan Selasa lalu, selepas beliau terpaksa tidur semalaman dalam keretanya, ketika penunjuk perasaan anti-junta berkumpul di luar, sambil dikawal polis London.
“Susulan tindakan membuli Minn itu, kami akan memastikan beliau boleh tinggal di UK dengan selamat, sementara beliau memutuskan masa depannya.
“Kami terus mendesak rampasan kuasa di Myanmar dihentikan dan demokrasi segera dipulihkan,” kata jurucakap Kementerian Luar.
Minn meminta bantuan UK dan menyatakan kemungkinan beliau akan mati jika kembali ke Myanmar.
Ditanya sama ada beliau akan dibunuh jika mengikut permintaan junta untuk pulang ke Myanmar, katanya: “Siapa tahu?”
Sebuah kumpulan pemantau tempatan berkata, protes menuntut demokrasi dikembalikan susulan rampasan kuasa 1 Feb lalu diadakan di Myanmar setiap hari dengan sekurang-kurangnya 614 orang awam terkorban akibat tindakan keras pasukan tentera.
Minn, bekas kolonel selama 30 tahun, mengkritik rampasan kuasa itu dan menyokong kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang digulingkan.