Kapal kargo Iran disasar, diserang di Laut Merah

Kapal kargo Iran disasar, diserang di Laut Merah

Kapal kargo Saviz turut diserang dengan periuk api magnetik.

Kapal kargo Iran, Saviz, dilihat berada di Laut Merah di pantai Yaman pada Oktober 2020. (Gambar AP)
DUBAI:
Kementerian Luar Iran hari ini berkata, sebuah kapal kargonya, Saviz, disasarkan di Laut Merah, sehari selepas media melaporkan ia diserang dengan periuk api magnetik.

“Letupan itu berlaku pagi semalam berdekatan pantai Djibouti dan menyebabkan kerosakan kecil tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

“Ia adalah kapal awam yang ditempatkan di sana untuk melindungi wilayah itu daripada lanun.

“Isu itu sedang disiasat,” kata jurucakap Kementerian Luar, Saeed Khatibzadeh.

Ia adalah insiden terbaharu dalam satu siri serangan ke atas kapal kargo milik Israel atau Iran sejak akhir Februari lalu, dengan kedua-dua negara itu saling menuding jari ke arah satu sama lain sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Pegawai Israel enggan mengulas serangan ke atas kapal kargo Iran itu yang dilaporkan semalam.

Kejadian itu berlaku sejak Joe Biden mula menjadi presiden Amerika Syarikat Januari lalu, yang berikrar menyertai semula perjanjian nuklear Iran pada 2015 dengan enam kuasa dunia lain – diketepikan bekas presiden AS, Donald Trump dalam langkah yang disambut baik Israel – jika Tehran kembali memenuhi perjanjian itu sepenuhnya.

Tehran dan Washington mengadakan rundingan tidak langsung yang disifatkan “membina” di Vienna semalam untuk mencari jalan memulihkan perjanjian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.