Thailand, ASEAN kerjasama bantu Myanmar atasi konflik

Thailand, ASEAN kerjasama bantu Myanmar atasi konflik

Thailand bekerjasama dengan negara ASEAN untuk membantu merungkai konflik di Myanmar.

Lebih 114 orang dikhuatiri terbunuh Sabtu lalu, jumlah korban tertinggi dalam sehari, sejak junta tentera merampas kuasa. (AP pic)
BANGKOK:
Thailand bekerjasama dengan negara ASEAN untuk membantu merungkai konflik di Myanmar dan sebagai negara jiran terdekat, Bangkok sentiasa mengikuti rapat perkembangan di negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata Thailand berdukacita dengan jumlah korban awam dalam tunjuk perasaan hujung minggu lalu yang terburuk sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari.

Beliau mengulangi seruan supaya keganasan di negara itu segera ditamatkan dan tahanan dibebaskan.

Lebih 114 orang dikhuatiri terbunuh Sabtu lalu, jumlah korban tertinggi dalam sehari, sejak junta tentera merampas kuasa. Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) masih ditahan.

“Kami sekali lagi mendesak semua pihak yang terlibat untuk mencari jalan keluar secara aman untuk Myanmar dan rakyatnya menerusi dialog.

“Dan kami berharap dapat melihat Myanmar kembali normal, damai, stabil dan bersatu. Tidak hanya untuk Myanmar dan ASEAN tetapi juga di wilayah serantau,” katanya pada sidang media hari ini.

Tanee berkata, agensi Thailand sudah bersiap sedia menyediakan kawasan untuk pelarian dari Myanmar.

Menurutnya, setakat ini, sekitar 216 etnik Karen yang melarikan diri berlindung dekat sempadan Thailand dan mungkin akan kembali ke Myanmar tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.